• 25 Okt 2021 | 18 Rabiul Awal 1443

Parlimen Kuala Terengganu Taja Yuran Pelajar Genius

KUALA TERENGGANU, 7 Februari - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim memaklumkan, pihaknya telah bersetuju menaja yuran pengajian pelajar genius, Muhammad Mu’az Zhofri Mohamad Yong, 13, yang menyambung pelajaran ke Kolej Genius Insan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan.

Jelasnya, tajaan itu dimaklumkan melalui pegawainya yang berkunjung ke kediaman pelajar tersebut di Kampung Losong Wakaf Nyor Kembar, baru-baru ini.

"Kita bersetuju parlimen bantu membayar yuran pendaftaran dan sediakan pengangkutan. Manakala, kita telah berbincang dengan pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan untuk membantu keperluan dan kelengkapan kolejnya," jelasnya melalui satu kenyataan di laman Facebooknya, baru-baru ini.

Sementara itu, ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah sempat menziarahi keluarga berkenaan minggu lalu dan menyatakan kesediaan kerajaan negeri membantu mereka.

“Jika pelajar biasa pun kita bantu, apatah lagi seorang pelajar yang cerdik, akan lebih lagi kita (kerajaan) bantu. Beliau dari keluarga yang susah kerana ketua keluarga (bapa) sakit dan tidak boleh bekerja.

"Pihak kerajaan negeri dan saya sendiri selaku ADUN tidak akan membiarkan adik Muhammad ini terkandas di sini, kerana beliau selayaknya dibantu," katanya.

Jelas Wan Sukairi, bapa Muhammad, Mohamad Yong Awang, 62, mengalami masalah lumpuh sebahagian anggota badan hampir dua tahun lalu. Kini, ibunya Rosimah Yusof, 50, yang menggalas tugas mencari sumber pendapatan dengan mengambil upah menjaga bayi. 

 


Tag: