• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Orang Awam Lapor Polis Calon BN Cuba Sogok Pengundi

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Satu laporan Polis telah dibuat terhadap calon daripada Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Datuk Mohd Sabri Alwi atau lebih terkenal dengan gelaran 'Mat Kerak' kerana dikatakan telah melakukan satu unsur sogokan dalam kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) ke-15.

Pengadu yang juga merupakan pengundi bagi DUN Ladang, Mohd Hilmi Jusoh, 33, membuat laporan berkenaan kerana merasakan telah berlaku ketidakadilan dalam proses kempen, selain calon didakwa telah melanggar peraturan yang digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Hari ini, saya membuat laporan berkenaan sogokan pilihan raya yang mana berdasarkan maklumat yang kita terima daripada facebook mengatakan bahawa satu unsur sogokan berlaku di Pangsapuri Ladang Gemilang pada 4 Ogos, baru-baru ini.

"Calon BN, Datuk Sabri yang berada di program tersebut iaitu program 'Tukar Minyak Hitam' bersama beberapa petugasnya yang dihadiri oleh 'rider-rider'. 

"Calon itu berada di situ dan ada bukti bergambar menunjukkan beliau menuang sendiri minyak hitam ke dalam motosikal salah seorang penerima dan kita lihat ia satu unsur sogokan dan kita dapati ada dalam Seksyen 8,9, atau 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang melibatkan larangan program penjamuan, pemberian hadiah dan perkhidmatan yang berlaku dalam program tersebut.

"Di gambar itu jelas pemberian dan perkhidmatan daripada calon BN itu sendiri, saya membuat laporan bertujuan supaya tindakan diambil kepada pihak berkenaan," katanya yang menyifatkan bahawa tidak adil sekiranya satu pihak patuh, manakala satu pihak lagi yang bertanding tidak patuh.

Sebelum ini, BN merupakan parti yang lantang dengan mengemukakan petisyen pilihan raya bagi P036 Parlimen Kuala Terengganu, baru-baru ini dengan akta yang sama.

"Ini satu yang tidak adil bagi mereka melanggar akta yang mereka laungkan dan petisyenkan baru-baru ini," katanya.

Untuk rekod, bagi Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 – Penjamuan.

Setiap calon boleh dianggap melakukan rasuah dengan menawarkan makanan, minuman kepada bakal pengundi kerana tindakan tersebut menunjukkan penghargaan supaya pengundi mengundi mereka. Petikan Seksyen 8 adalah seperti berikut:

“...dan tiap-tiap orang yang secara rasuah… memberikan atau mengadakan atau membelanjakan apa-apa makanan, minuman, atau makanan atau minuman ringan atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain bagi maksud untuk mempengaruhi...supaya memberikan atau tidak memberikan undinya dalam pilihan raya itu….untuk membolehkan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan itu didapatkan bersalah atas kesalahan menjamu.”

Kata kuncinya adalah ‘secara rasuah’, mempunyai niat dengan memberi makanan atau minuman yang ditawarkan tersebut. Sudah tentu modus operandi amalan sebegini kerap berlaku dalam politik Malaysia.

Manakala, Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 - Pengaruh tidak wajar, merujuk kepada “pengaruh yang tidak wajar” yang boleh menjadi kesalahan jika seseorang menggunakan kekerasan atau keganasan atau menghalang sehingga memaksa seseorang mengundi dengan cara tertentu, atau tidak mengundi langsung.

Dan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 - penyogokan, penyogokan berlaku sekiranya calon atau mana mana individu menawarkan ‘pembelian undi’ sama ada secara langsung atau tidak langsung seperti memberikan atau menawarkan wang, hadiah,pekerjaan, atau pinjaman ketika proses pilihan raya.

 

 


Tag: