• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

PAS Terima Baik Pengisytiharan Harta

Haji Ahmad Amzad Hashim.


KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Setakat ini semua kenyataan dari PAS memang menerima baik pengisytiharan harta.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, kenyataan-kenyataan ini boleh dilayari di internet serta media massa.

"Banyak kenyataan (dibuat) termasuk kenyataan daripada YAB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar Menteri Besar Terengganu dan YAB Dato’ Haji Ahmad Yaakob Menteri Besar Kelantan.

"Cuma menurut usul yang dibawa kelmarin (Isnin) jelas menunjukkan kesannya terhad dalam lingkungan Kuasa Speaker Dewan Rakyat kerana ada yang boleh memanipulasi proses.

"Misalnya YB Jelutong yang memindahkan dulu harta ke pihak ketiga sebelum isytihar harta seperti dijelaskan oleh Dato Liew Vui Keong, Menteri Undang- Undang ketika sesi penggulungan kerana itu pengisytiharan menunjukkan aset dia tiada," ujarnya.

Tambah pula katanya, ada beberapa perkara yang dipohon untuk diperhalusi misalnya keselamatan keluarga Ahli Parlimen jika aset mereka didedahkan kepada orang ramai kerana wujudnya manusia yang jenis cemburu dan dengki tidak dapat melihat orang mempunyai lebih harta dari mereka.

"Disitulah timbul soal YB Kubang Kerian Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man membaca hadis di mana tak digalakkan memberitahu orang ramai nikmat yg Allah berikan kerana ada yang sifatnya pendengki," ujarnya ketika mengulas usul parlimen mengenai pengisytiharan harta di kalangan ahli parlimen, di status facebooknya semalam.

Tambahnya lagi pada asasnya , kewajipan mengisytiharkan harta sepatutnya hanya kepada mereka yang diberi kuasa eksekutif kerana terdapat ruang untuk melakukan rasuah.

"Mereka itu ialah para Menteri , Timbalan Menteri serta mereka yang memegang jawatan dalam Kerajaan.

"Usul untuk mewajibkan semua sekali Ahli Parlimen dikatakan bertujuan memberikan persepsi kepada rakyat bahawa ahli politik Malaysia adalah telus.

"Walhal yamg lebih penting adalah kerajaan jangan melakukan perkara-perkara yang menimbulkan syak wasangka rakyat misalnya campur tangan dalam pendakwaan kes rasuah Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bagan yang berakhir dengan pengguguran kes rasuah berkenaan," jelasnya.

Menurut beliau Ahli Parlimen Pembangkang tiada mempunyai kuasa dalam membuat apa-apa tindakan membabitkan pengurusan negara.

Katanya, peruntukan setiap Ahli Parlimen Pembangkang cuma RM100 ribu setahun berbanding RM3.8juta yang diperoleh setiap Ahli Parlimen Kerajaan.

"PAS meminta sedikit masa dengan memasukkan sebagai satu peruntukan undang undang melalui pindaan akta di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Itu lagi kemas dan ada sumber kuasa.

"Kalau cuma setakat di Parlimen, Ahli Parlimen yang kaya raya boleh buat bermain main dengan tidak mengisytiharkan harta mereka.

"Paling teruk hukuman yang mereka ini akan hadapi adalah dihadap ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Ahli Parlimen yang setakat boleh menggantung kehadiran mereka ke mesyuarat Dewan Rakyat sahaja," ujarnya lagi.



Tag: