• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pasang 'Culvert' Atasi Banjir Termenung

MARANG, 20 Disember – Kerajaan negeri sedang berusaha mengatasi masalah banjir termenung di Kampung Rawai dengan memasang ‘culvert’ di tempat air tersekat dan mengenal pasti punca kejadian tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan melalui Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Rawai menyedari kejadian itu lebih awal sebelum tibanya musim tengkujuh.

"Antara usaha dibuat sebelum musim tengkujuh ialah bekerjasama dengan pihak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk membuka laluan air sepanjang kawasan kerja landasan kereta api itu termasuk memasang ‘culvert’ di tempat air tersekat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini, mengulas kejadian banjir termenung di kampung berkenaan.

Menurut ADUN Alur Limbat, antara usaha semasa musim tengkujuh pula, pihak ECRL telah membuka laluan untuk tempoh sementara di kawasan terlibat bagi membolehkan pengaliran keluar air hujan dari kampung berkenaan.

“Pejabat ADUN Alur Limbat akan memasang ‘culvert’ (tambahan) sepanjang 50 kaki untuk membuat sambungan longkang utama tepi jalan Kampung Rawai berhadapan Masjid Rawai bagi mengatasi masalah banjir termenung itu,” jelasnya.

Sebelum itu beliau bersama JPKK Rawai, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah Marang turun ke kampung berkenaan bagi mengenal pasti punca berlakunya kejadian tersebut.

Tambahnya, kerajaan mengambil maklum senario hujan sangat lebat, berlaku dalam tempoh yang singkat menjadi faktor utama berlakunya air termenung di samping kesan pembangunan di sekitar kampung tersebut.

“Lokasi perumahan terbabit (yang menerima kesan kejadian itu) berada di kawasan terendah berbanding, di samping kawasan sekeliling yang telah ditambak menambahkan lagi kesan buruk kejadian itu.

“Hampir keseluruhan sekeliling perumahan tersebut adalah merupakan tanah milik persendirian yang menyulitkan untuk pihak berkuasa membuat longkang konkrit kekal untuk mengalihkan aliran air ke parit atau sungai yang berdekatan,” ujarnya.

 


Tag: