• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pasang Perangkap Kera Dan Khinzir Elak Ganggu Penduduk

MARANG, 25 November - Perangkap tambahan yang baru diserahkan bagi mengawal dan mencegah populasi kera dan khinzir yang menggangu ketenteraman penduduk akan diletakkan di lokasi secara bergilir-gilir.

Sebanyak lima perangkap kera dan khinzir telah dipasang dan diletakkan di beberapa lokasi tumpuan haiwan liar tersebut beberapa hari lepas oleh Jabatan Perhilitian Negeri Terengganu.

Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria berkata, perangkap ini telah diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu untuk dijaga dan diselenggara dengan baik.

"Perangkap tambahan ini merupakan inisiatif bagi membantu masalah kekurangan perangkap di kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang daripada peruntukan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar." katanya.

Beliau berkata sebaik sahaja selesai program serahan perangkap kepada Ketua Perhilitan Daerah Kuala Terengganu, Nik Norhafizah Daud, ahad lalu.

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, perangkap ini akan sentiasa beralih ke lokasi-lokasi berdasarkan aduan yang diterima daripada Perhilitan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.

"Setakat ini ada, ada seekor khinzir yang berkeliaran di kawasan bandar Marang dan beberapa ekor kera di lokasi taman perumahan telah berjaya masuk ke dalam perangkap yang dipasang. 

"Antara lokasi yang telah dipasang adalah di Kampung Bukit Rhu Rendang, Gong Nangka, Seberang Marang, Darat Pak Chan, Bukit Kemas, Bandar Marang dan Rusila.

"Haiwan yang masuk dalam perangkap akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan dan Veterinar untuk beberapa urusan seperti mengambil sampel serta organ", tambahnya lagi.


Tag: