• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pasangan Lena Dibuai Mimpi Dicekup Pejabat Agama

DUNGUN, 8 Ogos – Sepasang kekasih yang kononnya berhenti untuk tidur antara tiga pasangan yang ditahan oleh Pejabat Agama Daerah Dungun dalam satu Operasi Bersepadu di sekitar Pantai Dungun di sini.

Ketua Unit Penguatkuasaan (KUP) Pejabat Agama Daerah (PAD) Dungun, Ahmad Mohsein Zakaria berkata kesemua pasangan tersebut dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

Beliau yang mewakili Pegawai Agama Daerah Dungun berkata mengikut pertuduhan, dua pasangan ditangkap melakukan perbuatan tidak sopan di sekitar pesisir pantai manakala satu pasangan di dalam kereta.

“Berdasarkan fakta kes pasangan dalam kereta, sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa syariah daerah melakukan rondaan dan ternampak sebuah kereta mencurigakan di tepi pantai berkenaan.

“Anggota kemudian menghampiri kenderaan itu bagi tujuan pemeriksaan sebelum mendapati sebuah pasangan sedang tidur di dalam kenderaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika siang media selepas Operasi Bersepadu Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah bersama Pejabat Agama Daerah (PAD) Dungun bertempat di sekitar pantai Dungun baru-baru ini.

Tambah Mohsein, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki adalah seorang duda manakala perempuan mempunyai status janda.

Susulan itu, pasangan terbabit ditahan dan dikenakan tindakan kaunseling serta diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Dungun untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, tinjauan turut dilakukan hotel-hotel di sekitar Dungun, namun tiada kes yang berjaya dikesan oleh pihak Penguatkuasa.

“Hotel-hotel yang diperiksa juga memberi kerjasama yang baik sepanjang operasi dijalankan.

“Operasi yang bermula pada jam 10 malam itu melibatkan tujuh orang pegawai penguatkuasaan Syariah (PPS) (PAD) Dungun serta seorang PPS sukarela.

"Pola kes dalam Daerah Dungun menunjukkan perkembangan positif dari sudut pengurangan kes tangkapan.

“Hal ini kerana, timbulnya kesedaran atas usaha kekerapan penguatkuasa PAD Dungun melakukan operasi, pemantauan dan sebagainya dalam daerah berkenaan,” ujarnya.

Beliau berharap, agar kes tangkapan sentiasa berkurang sehingga mencapai angka sifar kes tangkapan khalwat dalam Daerah ini.