KUALA TERENGGANU , 26 Julai – Inisiatif Pasar Berkat DUN Kota Putera berjaya membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat apabila pelbagai barangan keperluan dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran sehingga mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, program Pasar Berkat 1.0 yang diadakan di Mukim Kampung Raja menyaksikan 500 ekor ayam habis dijual dalam tempoh hanya 20 minit, manakala 10 ekor lembu dengan kira-kira 1,100 kilogram daging dan tulang habis dijual dalam masa kira-kira dua jam.
Menurut beliau, turut mendapat sambutan menggalakkan ialah 900 kilogram ikan, 500 kilogram bawang dan 584 pek beras lima kilogram yang habis dijual dalam tempoh singkat.
"Di luar jangkaan kita, sambutan rakyat sangat hangat. Program ini bertujuan menyantuni rakyat yang berdepan peningkatan kos sara hidup dengan menawarkan barangan keperluan pada harga lebih rendah daripada pasaran," jelasnya.

Mohd Nurkhuzaini menambah, antara harga yang ditawarkan ialah daging RM20 sekilogram berbanding harga pasaran sekitar RM27 hingga RM28 sekilogram, ayam RM6.90 sekilogram berbanding RM8.90, telur gred B RM10 sepapan, ikan RM5 sekilogram dan beras lima kilogram RM13 sebeg.
"Pengurangan harga tersebut ditanggung oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Putera sebagai usaha membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga mampu milik," ujarnya.
Justeru itu, beliau berharap program itu dapat diteruskan secara berkala agar lebih ramai penduduk berpeluang menikmati manfaatnya, di samping menjadi platform mendekatkan wakil rakyat dengan masyarakat setempat.
Sehubungan itu, Mohd Nurkhuzaini mengajak orang ramai khususnya penduduk Mukim Tembilang untuk hadir memeriahkan Pasar Berkat 2.0 yang akan berlangsung pada 1 Ogos di Kampung Gong Jelutong bermula jam 8 pagi, sebelum siri ketiga diadakan pada 29 Ogos di Seberang Limbongan.
