• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pasar Besar Dungun Akan Ditambah Baik


Ahmad Razif mendengar dan mencatat masalah diadukan peniaga Pasar Besar Dungun ketika kunjungan beliau ke premis perniagaan itu, pagi ini. Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail
 
Pasar Besar Dungun bakal diberi nafas baharu bagi menarik lebih ramai pelanggan dan meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri akan cuba membantu peniaga dan meneliti serta segera bertindak terhadap setiap aduan mereka termasuk mengenai kekurangan fasiliti di pusat perniagaan itu.


"Saya telah maklumkan kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun untuk mengambil tindakan sewajarnya dengan mengguna pakai konsep NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) yang melibatkan semua agensi serta sebahagian daripadanya pula akan dibantu oleh GLC (syarikat berkaitan kerajaan).

"Ini akan mengurangkan penggunaan peruntukan perbelanjaan oleh kerajaan sekali gus dapat menyelesaikan permasalahan yang sedang dihadapi," katanya.



Beliau ditemui pemberita ketika melakukan lawatan di Pasar Besar Dungun, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail, Pegawai Daerah Dungun, Ibrahim Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud.

Tambah Ahmad Razif, selain dari penambahbaikan dari segi fasiliti, penempatan lokasi dan lot perniagaan di kawasan itu juga didapati kurang strategik.

Katanya, kerajaan negeri akan melaksanakan pembaharuan dan kelainan supaya dapat memeriahkan suasana dan menarik lebih ramai pengunjung ke premis perniagaan itu nanti.


"Antara aktiviti yang boleh dijalankan adalah dengan mengadakan acara-acara berkonsepkan pelancongan dan kebudayaan. Jika perlu kita boleh adakan sebulan sekali pada setiap minggu pertama.

"Dengan adanya aktiviti sedemikian yang melibatkan kebudayaan sekurangnya mampu merancakkan lagi kehadiran orang awam sekali gus membantu peniaga di pasar ini," katanya.

Tag: