• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Pasar Payang Kembali Lengang

KUALA TERENGGANU, 18 Januari - Peniaga di Pasar Payang kembali 'tersepit' susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 13 Januari lalu.

Sebelum ini mereka mampu menarik nafas lega kerana kehadiran pelancong termasuk dari luar Terengganu ke pusat perniagaan tersohor terbabit memberi pulangan lumayan. 

Kebenaran rentas negeri ketika pelaksanaan PKPP digunakan sebaik mungkin peniaga untuk meraih pendapatan menyara diri dan keluarga.

Bagaimanapun kini, keadaan kembali 'sayu' selepas hampir beberapa bulan menerima 'durian runtuh' berikutan Terengganu menjadi lokasi pilihan pelancong,

Tinjauan mendapati lokasi yang sering menjadi tumpuan ramai kembali lengang apabila kebanyakan aktiviti perniagaan hanya tertumpu kepada jualan barangan makanan kering dan basah.

Peniaga pakaian batik, Kamariah Abu Bakar, 45, berkata, kebanyakan peniaga sudah mula menutup kedai selepas waktu Zohor kerana kekurangan pelanggan  sejak hari pertama PKPB.

"Sebagai peniaga, kita memang datang berniaga setiap hari tidak kira ada pelanggan atau tidak tetapi memang susah nak jual sebab kita banyak bergantung kepada pelancong luar.

"Baru sahaja kami mahu bernafas tetapi kini kami kembali runsing, namun saya bersyukur kerana ada menjalankan perniagaan secara dalam talian yang sedikit-sebanyak dapat membantu," katanya.

Bagi peniaga kuih, Ibrahim Jusoh, 66, berkata, dia terpaksa mengurangkan sehingga 40 peratus jualan kuihnya bagi mengelak kerugian.

Katanya, kebanyakan pelanggan di situ adalah pelancong luar seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

"Ketika PKP dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kita sudah mula rasa kesannya tetapi apabila dilaksanakan hampir satu Malaysia, memang terjejas teruk pendapatan kami.

"Saya tahu pelaksanaan PKP ini untuk mengekang penularan COVID-19 tetapi saya berharap semua pihak memainkan peranan masing-masing supaya kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa," katanya

 


Tag: