• 20 Sept 2021 | 12 Safar 1443

Pasar Payang Lokasi Kempen Budaya Norma Baru COVID-19

KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Pasar Besar Kedai Payang terpilih antara  enam pasar utama di seluruh negara yang perlu diberi tumpuan dalam Kempen Membudayakan Norma Baru Covid-19.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato' Sri Alexander Nanta Linggi berkata, lima lagi pasar yang tersenarai ialah Pasar Satok di Kuching Sarawak, Pasar Kraftangan Di Kota Kinabalu, Sabah, Pasar Siti Khadijah Kota Bharu Kelantan, Pekan Rabu, Alor Setar, Kedah dan Pasar Chowrasta, Georgetown, Pulau Pinang.

Katanya, pasar-pasar ini perlu dipersiapkan bagi memastikan ia dapat menerima pengunjung luar dengan pematuhan SOP yang tinggi apabila sektor pelancongan 
domestik dibuka seperti biasa.

"Pemilihan pasar-pasar utama ini adalah berdasarkan beberapa 
kriteria. Antara kriteria utama ialah tempat pasar utama ini adalah merupakan tumpuan pengguna terutama pelancong domestik.

"Persekitaran yang berisiko rendah dan selamat akan memberi keyakinan kepada pengguna untuk terus mengunjungi premis-premis perniagaan tersebut,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu Covid 19, Sektor Peruncitan Di Pasar-Pasar Utama di Pasar Payang, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPDNHEP, Dato' Rosol Wahid; Ketua Setiausaha kementerian itu, Dato' Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman serta Pengarah KPDNHEP negeri, Shaharuddin Mohd Kia.

Tambahnya lagi, kempen  itu juga adalah sebahagian strategi  bersepadu Kerajaan dalam mengurus pandemik COVID-19 yang diterajui oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Sementara itu Alexander juga berkata, kadar pematuhan SOP sektor peruncitan sehingga 1 Mac 2021 adalah pada kadar 97.9 peratus dan menjadi sektor yang terbaik sehingga hari ini.

"KPDNHEP telah menjalankan lebih dari 400 ribu pemeriksaan premis diseluruh negara dan telah mengeluarkan sebanyak 151 kompaun. 

"Berdasarkan jumlah pemeriksaan tersebut, KPDNHEP mendapati kadar pematuhan disektor peruncitan 
adalah amat tinggi dan perlu dikekalkan sehingga berakhirnya 
situasi pandemik di negara ini," ujarnya.


Tag: