• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Pasar Payang Sementara Mula Dibina Mei Ini

Noh mendengar taklimat pembangunan Pasar Payang Baharu di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, hari ini


Kerja-kerja membina Pasar Payang sementara untuk melancarkan projek pembangunan semula Kompleks Pasar Payang baharu dijangka bermula selewat-lewatnya Mei ini.

Manakala Pasar Payang lama  akan dirobohkan  sebaik sahaja selesai kerja-kerja itu yang dijangka mengambil masa setahun setengah.

Kira-kira 530 peniaga yang terdiri pengusaha pakaian, peniaga barangan basah, barangan runcit, cenderahati dan kedai emas  akan dipindahkan ke pasar sementara di Pulau Warisan.

Menteri Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkata ianya akan dilakukan secara berperingkat- peringkat supaya tidak menjejaskan kunjungan pelancong ke tempat tumpuan itu.

Katanya, pembinaan Kompleks Pasar Payang baharu yang membabitkan peruntukan RM66 juta itu  dijangka bermula serentak dengan pembinaan Pasar Payang sementara dan dijangka siap pada 2020.

“Komponen Payang Payang baharu setinggi dua tingkat dan menempatkan 600 peniaga itu akan meliputi  esklator, ruangan niaga berhawa dingin untuk peniaga kain dan kedai emas,  tempat letak kereta, menara jam, lif, surau dan restoran.

“Pasar Payang sementara tidak akan dirobohkan sebaliknya dijadikan ruang pameran dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan  apabila dikosongkan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik selesai mendengar taklimat pembangunan Pasar Payang Baharu di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Halimah Mohamed Sadique,  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Mohd Zulkifli Abu Bakar,

Menurut Noh, beliau percaya pembinaan yang dilakukan ke atas Pasar Payang itu mampu memberi impak positif kepada kerajaan negeri termasuk peniaga itu sendiri.

 “Dengan terlaksananya projek  yang diselia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini, peniaga dapat berniaga dalam keadaan lebih selesa dan saya yakin industri pelancongan juga akan lebih maju,” katanya.




Tag: