• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Pasar Terapung Drawbridge Adaptasi Konsep Pulau Suri

KUALA NERUS, 22 September - Pasar terapung yang bakal diwujudkan berhampiran Drawbridge akan menjadikan 'floating market' di Pulau Suri, Kelantan sebagai antara rujukan utama.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, pihaknya telah mengadakan lawatan ke pasar itu baru-baru ini bagi melihat bagaimana ia beroperasi dan apa daya tarikan yang ada.

“Pihak Pejabat Daerah kini sedang giat merancang projek pasar terapung di Seberang Takir sebagai produk pelancongan terbaharu Terengganu.

"Di samping pasar tersebut juga mampu membantu penduduk setempat menjana pendapatan lumayan hasil daripada jualan insya-Allah.

"Konsep jualan yang dibuat seakan-akan pasar terapung di negara jiran menghimpunkan pelbagai jualan, khususnya hanya terdapat di sekitar perkampungan termasuk lokan bakar, nasi kerabu dan aneka kuih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pejabat Pusat Khidmat DUN Seberang Takir di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah menghargai usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan pasar.

Katanya, ia bukan sahaja mampu memajukan negeri tetapi turut memberi kesan besar kepada peniaga-peniaga.

"Insya-Allah persiapan telah dirancang dan dijangka bermula awal tahun hadapan," jelasnya.

Dalam pada itu, Pengasas Pasar Terapung Pulau Suri yang dikenali sebagai Pak Lan berkata, dia bersama dua lagi rakannya membelanjakan RM30,000 untuk membuka pasar terapung itu.

"Bermula dengan 10 buat bot sahaja dan sehingga kini bertambah ke 38 buah bot.

"Selama ini peniaga di sini tidak dapat memasarkan produk mereka ke luar tetapi hari ini mereka boleh tersenyum kerana pendapatan sehari boleh mencecah RM2,000 ke RM3,000," ujarnya ketika ditemui pemberita semasa lawatan di Pasar Terapung Pulau Suri.


Tag: