• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KUALA TERENGGANU, 17 Disember – Kerajaan negeri memantapkan sistem penyampaian maklumat di bawah Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna bagi memastikan tiada usahawan tercicir daripada mendapat sebarang info dan bantuan yang tersedia.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, antara masalah ditumpukan adalah penerangan tidak efektif di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) yang berlaku sebelum ini.

“Kita telah memberi taklimat kepada wakil-wakil PKM, namun ia tidak berkesan, apabila orang bertanya di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) petanya ditolak kepada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

“Saya terima cadangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pegawai Penyelaras kerana mereka kekurangan maklumat mengenai portfolio saya, apa kerajaan buat tidak sampai kepada rakyat.

“Oleh itu, sesi libat urus bersama dua wakil PKM seperti hari ini antara salah satu cara bagi memikirkan mekanisme supaya segenap lapisan masyarakat tahu, terutamanya apabila Bajet 2022 menambah peruntukan tabung usahawan kepada RM10 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media program Pembentangan Program & Aktiviti Tahun 2022 Di Bawah Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna di Hotel Seri Pacific, semalam.

Katanya, antara penyelesaian diusahakan seperti menamakan seorang wakil daripada PKM sebagai pusat maklumat daripada YPU dan portfolio keusahawanan.

“Contohnya, apabila ada orang kampung minta bantuan kewangan bagi membeli mesin, maka pegawai itu akan menceritakan jalan cara dan berhubung dengan YPU sebagai pemudah cara.

“Matlamat tarikh pelaksanaannya dapat dijalankan pada bulan Januari setelah mengenal pasti pegawai sesuai agar sistem mekanisme penerangan ini menjadi efisyen dan rakyat tidak terlepas kebaikannya,” katanya lagi.