Jenayah Syariah : Terengganu Perluas Kempen Didik Rakyat
KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Kempen Pencegahan Penguatkuasaan Syariah di KTCC Mall mengetengahkan pendekatan berhemah dalam mendidik masyarakat memahami dan mematuhi undang-undang syariah, tanpa tekanan atau ketakutan terhadap hukuman.
Usaha bersama Unit Penguatkuasaan, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu itu memberi penekanan kepada pendidikan dan kesedaran, bukan sekadar penguatkuasaan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor berkata kempen itu membawa mesej bahawa syariah perlu difahami dan dihayati, bukan sekadar ditakuti.
"Kesedaran adalah kunci kepada kepatuhan dan itulah matlamat utama Kempen Pencegahan Penguatkuasaan Syariah yang berlangsung di KTCC Mall bersama Unit Penguatkuasaan, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu.
"Kempen ini mengajak masyarakat untuk memahami kepentingan mematuhi undang-undang syariah tanpa perlu menunggu tindakan penguatkuasaan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Zuraida turut memperkenalkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu sebagai teras kefahaman terhadap implikasi undang-undang.
"Kita memperkenalkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu.
"Antaranya denda sekiranya tidak solat Jumaat, berkhalwat, berpakaian dan berperbuatan tidak sopan di tempat awam dan lain-lain lagi," jelasnya.
Beliau menjelaskan bahawa nilai Islam harus dibudayakan dalam kehidupan seharian agar keharmonian masyarakat dapat dipelihara.
Menurutnya, kempen ini turut menunjukkan bagaimana pendekatan lembut dan terbuka mampu menarik minat orang ramai mendekati ilmu agama.
"Kerjasama erat antara Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dan KTCC Mall membuka peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk mendekati ilmu agama dalam suasana yang lebih santai tetapi sampai.
"Kesedaran sebelum tindakan, pendidikan sebelum hukuman, itulah asas kepada syariat yang ingin ditegakkan bersama," kata beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang itu turut menyeru semua pihak untuk menyokong usaha ini demi kebaikan bersama.
"Marilah kita sama-sama mendukung kempen ini, menjadikan kepatuhan kepada syariah sebagai satu kesedaran, bukan paksaan," ujarnya.