• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Paya Bunga Hotel Terengganu Model Patuh Syariah


KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Kerajaan Negeri Terengganu meletakkan hasrat untuk menjadikan Paya Bunga (PB) Hotel sebagai model kepada semua hotel di Malaysia.

Ketua Eksekutif Syariah PB Hotel, Mohd Zamani Ismail berkata, konsep hotel patuh syariah yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri akan menjadi contoh kepada hotel yang lain.

Jelasnya lagi, orang ramai tidak perlu merasa takut dengan konsep patuh syariah yang diperkenalkan, kerana hotel ini melaksanakan patuh syariah secara menyeluruh yang akan menjamin keselamatan pengunjung sesuai dengan konsep Islam rahmat untuk semua.

"Hotel ini meletakkan satu konsep ciri pelaksanaan patuh syariah secara menyeluruh, terdiri daripada staf-staf yang diminta untuk menutup aurat, perempuan bertudung, yang lelaki kita galakkan menyertai program-program keagamaan yang dianjurkan seperti kuliah Zohor dan ceramah perdana.

"Apa yang lagi penting, hasrat daripada YAB (Yang Amat Berhormat) Menteri Besar ke arah melahirkan negeri Maju, Berkat dan Sejahtera di mana kita mahu meletakkan hotel ini sebagai model atau contoh kepada hotel-hotel di Terengganu dan Malaysia," katanya.

Paya Bunga Hotel Terengganu mempunyai 208 bilik, kolam renang, gimnasium dan berada di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu yang amat sesuai dijadikan pilihan utama kepada para pelancong dari dalam dan luar negeri.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dalam rancangan ‘Assalamualaikum’ di Tv Al-Hijrah hari ini.

Turut serta dalam rancangan yang bersiaran jam 9.35 pagi tadi ialah Pengurus Operasi PB Hotel, Abdul Hadi Alias.

Hotel setinggi 12 tingkat yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 31 Disember lalu turut menyajikan pelbagai makanan tradisi Terengganu seperti nasi dagang dan keropok lekor.

Berkonsepkan moden kontemporari, hotel itu menawarkan kemudahan eksklusif kepada tetamu dari segenap lapisan masyarakat untuk bersantai sambil menikmati pemandangan indah Bandaraya Warisan Persisir Air.

Dengan  adanya dua jambatan yang menghubungkan  antara hotel dan kompleks-kompleks tersebut, tetamu dapat menikmati  kemudahan seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC), Panggung Wayang LFS dan Pusat Bowling Coral Crown Bowl.

Tetamu juga boleh menikmati pemandangan ‘rooftop’ yang indah sekitar bandar raya ini dari perkarangan kolam renang Paya Bunga Hotel Terengganu.

Kolam renang yang berada di tingkat 11 merupakan kolam renang aras tinggi pertama di Kuala Terengganu dan menawarkan pemandangan 360 darjah bandar Kuala Terengganu kepada tetamu.

Tag: