• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PAYUNG Santuni Anak Yatim, Beli Barang Keperluan Sekolah

KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Pertubuhan Anak-Anak Yatim DUN Sura (PAYUNG) menjadikan sesi persekolahan tahun ini satu kegembiraan buat 69 anak yatim di DUN tersebut apabila dibawa membeli barang kelengkapan persekolahan sekitar bandar Kuala Terengganu semalam.

Pengerusinya, Zakariah Yusof berkata, ianya merupakan satu tanggungjawab sosial bagi memastikan anak-anak ini dapat meneruskan sesi persekolahan dengan sempurna.

"Langkah ini merupakan tanggungjawab pihak kami memastikan anak-anak yatim ini tidak terasa terpinggir dan memberi mereka peluang untuk belajar dalam keadaan lengkap seperti pelajar yang lain," ujarnya kepada pemberita.

Tambahnya, anak-anak yatim ini sangat gembira setelah dibawa membeli belah dan makan di Restoran DeeLight. 

"Saya lihat respon anak-anak ini sangat ceria. Mungkin ada dikalangan mereka tidak pernah dibawa melancong dengan menaiki bas, selain dijamu dengan makanan yang mewah dan sukar didapati," ujarnya.

Program ini ditaja kira-kira 40 orang penyumbang dari pelbagai latar belakang untuk digunakan membeli barang keperluan persekolahan. 

Zakariah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang dan terlibat menjayakan program tersebut. 

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih buat semua penyumbang dan juga setinggi penghargaan atas kerjasama semua pihak yang terlibat memastikan kelancaran program ini," ujarnya.


Tag: