• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

PBSNT Laksana Transformasi Untuk Tambah Baik Kelab


Foto oleh : Harish Fadzillah Abu Kassim

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) melakukan pelbagai transformasi bagi menambah baik kelab-kelab di bawah naungannya.

Antaranya adalah dengan menubuhkan sebuah syarikat iaitu Terengganu Football Club Sdn Bhd.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, dengan penubuhan syarikat itu, ianya akan mengurangkan kebergantungan kelab-kelab tersebut kepada kerajaan negeri terutamanya dari segi kewangan.


"Dengan penubuhan syarikat ini, sebenarnya kita sudah pergi ke satu konsep yang lebih profesional selain syarikat akan menguruskan lima pasukan di bawahnya.

"Jadi untuk kewangan selepas pada ini, mereka tidak akan bergantung 100 peratus kepada kerajaan. Mungkin selepas ini ada stadium sendiri dan ada lagi perkara-perkara yang menjana pendapatan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Memperkenalkan Pemain dan Jersi Pasukan Terengganu FC Musim 2018 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, malam tadi.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato’ Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil.

Ahmad Razif yang juga Presiden PBSNT berkata, melalui gerakan transformasi itu, buat masa sekarang, terdapat lima kelab yang bernaung di bawah satu pengurusan.

"Terengganu FC dijadikan sebagai 'parents club' manakala Terengganu FC 2 sebagai 'feeder club'. Seterusnya kita ada Terengganu FC 3, Terengganu FC 4 dan Terengganu FC 5.


"Jadi maknanya sekarang kita ada satu sistem yang ada kesinambungan iaitu dengan menyediakan pelapis. Daripada bawah 17, bawah 19, kemudian bawah 21. Pasukan bawah 21 ini kita sediakan untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2018 nanti," katanya.

Dalam program yang berlangsung malam tadi, ribuan peminat bola sepak Terengganu membanjiri stadium tersebut untuk menyaksikan pelancaran jersi bagi kelima-lima pasukan bagi musim 2018.


Tag: