• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

PBSNT Tunggu Tindakan Faisal, Sedia Berbincang

KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan, pihak persatuan akan menunggu tindakan lanjut penyerang kebangsaan, Mohd Faisal Abdul Halim sebelum mengambil sebarang tindakan secara rasmi.

Jelas Menteri Besar Terengganu itu, PBSNT telah mendapatkan penjelasan daripada Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) berhubung isu tersebut dan berharap ia dapat diselesaikan secara baik.

"Ada perkara yang sedang berlaku sebenarnya dan kita menunggu surat daripada pihak beliau untuk mendapatkan penjelasan dan kita akan berkomunikasi secara rasmi dengannya.

"Ada salah faham yang berlaku, yang dia (Faisal) pun tahu bahawa ada perkara yang tidak patut dibuat tetapi telah berlaku, dan ada tindakan yang ditangguhkan pada peringkat awal namun diambil tindakan selepas itu, apapun kita berbincanglah.

"Kita hendak selesaikan secara baik, cuma kita kena sedar apa yang salah tetap salah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Tahunan PBSNT 2022 di Primula Beach Hotel, hari ini.

Tambahnya, perkara itu boleh diselesaikan oleh kedua-dua pihak dengan baik.

Beliau bagaimanapun menyatakan, perkara itu tidak memberi kesan kepada persediaan pasukan Terengganu FC untuk musim hadapan.

"Ada isu-isu yang perlu diselesaikan sebenarnya dan kita tunggulah surat daripada beliau, beliau boleh membuat rayuan tiada masalah dan kita boleh berbincang dari situ," jelasnya.

Dalam kongres berkenaan, Samsuri menggariskan beberapa langkah yang dipersetujui untuk memajukan bola sepak di Terengganu.

Antara yang diutarakan ialah penganjuran liga peringkat bawah umur dalam negeri.

"Kita akan mengadakan liga untuk peringkat bawah umur, bagi mencungkil bakat baru dari daerah- daerah ke peringkat tinggi.

"Kita akan bincang dalam peringkat jawatankuasa terutama berkenaan kewangan dan masalah-masalah lain untuk menjayakan perkara ini," katanya.


Tag: