• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

PdPR : Ibu Bapa Jambatan Antara Guru Dan Pelajar

KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Cabaran sektor pendidikan terutamanya dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu dilihat dari sudut positif oleh semua pihak terutamanya ibu bapa agar ilmu dapat disampaikan secara berkesan dengan berkat.

Seorang guru Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Dr. Salbiah Mohamad Salleh berkata, disebabkan penularan COVID-19, situasi PdPR sedang dialami di seluruh dunia perlu dilihat sebagai suatu peluang.

“Bagi ibu bapa, mereka boleh memantau dan melihat sendiri proses pembelajaran anak-anak mereka yang mungkin jarang diperhatikan sebelum musim pandemik.

“Para pelajar juga berpotensi untuk membina kemahiran aplikasi digital serta belajar menggunakan pelbagai bahan online yang telah dibikin oleh pihak guru dan sekolah.

“Oleh itu, corak pemikiran ibu bapa perlu bersikap terbuka dalam memastikan PdPR berjalan lancar di rumah, jika ada sebarang masalah boleh rujuk kepada guru dan tidak perlu ‘complain’ secara terbuka dalam kumpulan ‘Whatsapp’,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.

Sementara itu, Guru Matematik Viral, Fadli Salleh menyuarakan pendapat sama mengenai PdPR sebagai tanda pendidikan tidak akan berhenti dengan fokus kepada ibu bapa sebagai jambatan kepada ilmu antara pelajar dan pengajar.

“Rintihan dan komen ibu bapa sentiasa diteliti kerana mereka juga terlibat sebagai penyambung antara pelajar dan guru dalam memastikan pembelajaran berjalan lancar.

“Hasilnya, adaptasi dan penambahbaikan sentiasa dibuat oleh para guru terhadap PdPR berbanding dengan awal tahun lepas dimana berlaku sedikit kekalutan.

“Sedikit demi sedikit kerjasama antara dua pihak dapat mengatasi kekangan yang ada, contohnya kebanyakan anak murid telah memiliki gajet, bantuan daripada kerajaan negeri juga mendorong kepada penambahbaikan PdPR,” katanya.

Tambahnya, pendapat ibu bapa masa kini juga semakin positif dan ada di kalangan pelajar sudah mahir untuk menganjurkan ‘Google Meet’ dengan sendiri.

Menjawab tentang dakwaan kontroversi ‘cikgu makan gaji buta’, Fadli menjawab, sangkaan tersebut tidak betul dan perlu difahami situasi guru juga, ramai yang pertama kali atau belum bersedia untuk menghadapi pembelajaran online.

“Kebanyakan guru yang bagus dan ‘otai’ dalam pengajaran fizikal tetapi mengalami sedikit kejutan budaya dengan kaedah norma baharu, namun begitu, hikmah sekarangnya adalah cikgu-cikgu sekarang sudah mula kuasai teknologi dari masa ke semasa

"Tarikh menghantar kerja sekolah kini sesetengah sudah fleksibel dan guru juga perlu memainkan peranan dalam menilai faktor geografi dan kedudukan sosial pelajar dalam membentuk bahan pelajaran sama ada guna Live atau video,” tambahnya.