lightning-solid
Berita :
PDRM Keluarkan 1,850 Saman, Sita 222 Motosikal Sepanjang RXZ Members 8.0
PDRM Keluarkan 1,850 Saman, Sita 222 Motosikal Sepanjang RXZ Members 8.0
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
60

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu mengeluarkan 1,850 saman trafik dan menyita 222 buah motosikal sepanjang Op RXZ Members 8.0 yang berlangsung di Terengganu dari 31 Julai hingga 1 Ogos lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata tindakan penguatkuasaan itu diambil bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya serta menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya sepanjang penganjuran himpunan berkenaan.

Menurut beliau, kebanyakan motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 atas pelbagai kesalahan, termasuk penggunaan ekzos bising dan nombor pendaftaran yang tidak mematuhi spesifikasi.

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu telah membuat enam tangkapan yang terdiri daripada empat lelaki Melayu tempatan, seorang perempuan Melayu tempatan, dan seorang lelaki warga Singapura berumur 22 tahun. Kesemua mereka telah dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 di Mahkamah Majistret daerah tangkapan masing-masing.

“Sekiranya disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 5 tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam siding media di IPK Kuala Terengganu, hari ini.

Tambahnya, daripada jumlah tersebut, lima kemalangan maut  dicatatkan pada tahun ini berbanding dua kes pada tahun lepas. 

“Daripada lima kes ini, empat mangsa adalah lelaki dan seorang mangsa wanita yang semuanya dalam lingkungan 20 hingga 48 tahun. Dua kes hanya dua kes melibatkan motosikal RXZ, lokasi di Kuala Terengganu dan Kemaman, manakala tiga lagi melibatkan lain-lain jenis motosikal iaitu Yamaha 125, Yamaha Y15ZR, dan Vario. Satu kes di Kemaman dan dua kes di Dungun,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi kes jenayah, sebanyak empat kes jenayah sahaja yang dicatatkan, berbanding enam kes yang direkodkan sepanjang penganjuran RXZ Members 7.0 pada tahun lalu.

Tambahnya, bagi kes curi motosikal, satu kes pada tahun ini iaitu kehilangan motosikal Yamaha 125Z di luar Litar Pemotoran Gong Badak. 

“Bagi statistik kes jenayah komersial pula, hanya satu kes penipuan direkodkan melibatkan penipuan tawaran inap desa (homestay) tidak wujud di Wakaf Tengah, Kuala Nerus dengan jumlah kerugian RM1,200,’ katanya.

Bagi laporan kes narkotik di Daerah Kuala Terengganu, sebanyak 15 pemeriksaan telah dijalankan ke atas individu dan lokasi yang disyaki sepanjang tempoh penganjuran program tersebut. 

“Tujuh lokasi pemeriksaan adalah di inap desa manakala baki adalah pemeriksaan di sekitar tapak program.

“Hasil daripada pemeriksaan yang dilaksanakan, tindakan tegas telah diambil dengan lima kes dengan tiga tangkapan. Melibatkan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. 


Tag :

Artikel Berkaitan