• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PDRM Kukuh Hubungan Dengan Kerajaan Negeri

Haji Yahaya Ali ditemui pemberita dalam kunjungan hormat Timbalan Ketua Polis Terengganu ke pejabatnya.
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Kerajaan Terengganu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu khususnya mengalu-alukan kerjasama baik dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Yang Dipertua DUN Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata, beliau berbesar hati dengan kunjungan PDRM Terengganu hari ini.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas kunjungan PDRM.

"Ianya merupakan suatu amalan yang baik dalam merapatkan hubungan silaturrahim antara pihak polis dan kerajaan negeri.


“Tugas yang dilaksanakan PDRM pada hari ini adalah sangat baik dan kerajaan sentiasa terbuka dalam menjalinkan kerjasama,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita bersama dengan Timbalan Ketua Polis Terengganu yang baru dilantik 1 Oktober yang lalu di Pejabat Yang Dipertua DUN Terengganu, Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurutnya, pada akhirnya rakyat perlu mendapat perkhidmatan yang baik daripada kerajaan dan PDRM khususnya dalam soal keselamatan dan ketenteraman awam.

Sehubungan dengan itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Terengganu, Senior Asisten Komisioner, Dato’ Allaudeen Abdul Majid menekankan bahawa memang menjadi tanggungjawab polis untuk menjalinkan hubungan baik dengan semua pihak.


Katanya, matlamat akhir adalah memberi  perkhidmatan kepada  rakyat tanpa mengira latar belakang politik dan kaum.

“PDRM sentiasa menjalinkan hubungan baik dengan pemimpin kerajaan negeri.

“Polis (juga) memberikan kerjasama dengan menempatkan pegawai bagi memastikan keselamatan persidangan DUN berjalan dengan baik,” jelasnya.

Justeru itu, Haji Yahaya Ali berkata, antara kerjasama yang diberikan oleh pihak polis termasuk menjayakan program-program kerajaan  khususnya dalam menghadapi persiapan banjir pada tahun ini.

Beliau turut mengucapkan setinggi- tinggi penghargaan kepada PDRM kerana program menembak bersama kerajaan negeri anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)Terengganu, baru-baru ini (29 Oktober) berlangsung dengan meriah.


“Sebenarnya ramai antara kami baru memegang pistol (dan tidak biasa dengan senjata api).

“Banyak isu dalam masyarakat (yang perlu diselesaikan) bukan sahaja  bergantung kepada kecekapan pihak polis, tetapi bergantung kepada kerjasama masyarakat,” tambahnya.




Tag: