• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Pegawai Daerah Kemaman Serah Tugas

KEMAMAN, 22 Oktober - Mohamad A. Rahman @ Othman menyerahkan tugas dan jawatannya sebelum ini sebagai Pegawai Daerah Kemaman kepada Pegawai Daerah Kemaman yang baharu, Mohd Sophian Abu Bakar di sini pagi ini.

Beliau yang berkhidmat di Kemaman bermula 3 November 2019 dan berakhir pada 21 Oktober 2020 tentunya meninggalkan banyak kesan kepada pegawai-pegawai di jabatan tersebut.

Majlis Penyerahan Tugas Pegawai Daerah Kemaman disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kemaman.

Mohamad A. Rahman mengakui, kenangan bersama pegawai-pegawai dan komitmen yang telah ditunjukkan sebagai satu kumpulan bagi menyelesaikan permasalahan di Kemaman merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

"Saya berharap kerjasama pegawai yang telah diberikan kepada saya dapat juga diberikan kepada Pegawai Daerah Kemaman yang baharu sekali gus dapat diterjemahkan dalam pembangunan Kemaman khususnya,” ujarnya.

Beliau akan bersara dari penjawat awam bermula hari ini setelah 38 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid mengucapkan terima kasih kepada Mohamad A. Rahman atas segala jasa dan perkhidmatan yang telah disumbangkan.

“Terima kasih diucapkan kepada Tuan Haji Mohamad A.Rahman @ Othman atas segala jasa dan perkhidmatan yang telah disumbangkan kepada kami warga Kemaman, selamat datang dan selamat bertugas diucapkan kepada Pegawai Daerah Kemaman yang baharu, Tuan Haji Mohd Sophian Bin Abu Bakar,” katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook miliknya.

Majlis Penyerahan Tugas Pegawai Daerah Kemaman turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasek, Ir. Saiful Azmi Suhaili, ADUN Air Putih, Ab. Razak Ibrahim, Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh dan pegawai-pegawai kanan Pejabat Daerah Kemaman.


Tag: