• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pegawai Media Perlu Bijak Guna Media Sosial


Mohd Iskandar bersama peserta Bengkel Penanda Aras Pegawai-Pegawai Media Wakil Rakyat anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) di Hotel Permai, Kuala Terengganu. Foto Harish Fadzillah Kassim 

Pihak berkepentingan terutama pegawai media kepada wakil rakyat perlu bijak mengolah dan  merungkai berita untuk dimuatkan melalui laman sesawang atau terbitan tertentu agar mudah difahami masyarakat setempat.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Mohd Iskandar Jaafar, berkata sekiranya setiap olahan berita atau sesuatu isu itu nampak menarik pastinya masyarakat mahu mengetahui secara lebih terperinci.

Katanya, langkah itu pastinya akan diketahui umum secara menyeluruh sekiranya dihebahkan berita mengenai pembangunan, kebajikan dan bantuan yang dilaksanakan kerajaan.

“Oleh itu, saya sarankan pihak yang bertanggungjawab perlu menggunakan peluang dan ruang di mana-mana ruang media sosial sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Penanda Aras Pegawai-Pegawai Media Wakil Rakyat anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) di Hotel Permai, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pengurusan), Muhd Aimin Mohd Tahir.


Kira-kira 60 peserta hadir pada program yang diselitkan dengan pembentangan kertas kerja bertajuk  `Peranan Pegawai Media, Fungsi Dan Tanggungjawab’.

Iskandar mengakui pengamal media sosial pembangkang lebih ke depan dalam penggunaan laman sesawang sama ada melalui Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

Katanya, mereka bijak memutar belit isu dan mengolah fakta untuk mendapat `like’ dan pengikut.


"Berkaitan perkara ini, pihak sama iaitu pengawai media kepada wakil rakyat sewajarnya celik untuk manangkis apa yang dihebahkan pembangkang dengan mencari maklumat tepat.

“Mereka boleh merujuk mana-mana pihak yang boleh dipercayai termasuk Unit Komunikasi Negeri atau mendapat maklumat sahih dengan pengamal media arus perdana,”katanya.






Tag: