• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pejabat Parlimen Setiu Agih 422 Pek Lauk Basah

SETIU, 8 Ogos – Seramai 422 keluarga di Setiu, di sini yang dikuarantin menerima bantuan lauk mentah yang disumbangkan oleh Ahli Parlimenya, Shaharizukirnain Abd Kadir.

Bantuan itu membabitkan kampung-kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Permaisuri dan Langkap yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 atau penduduk yang masih menunggu keputusan saringan wabak tersebut. 

Shaharizukirnain berkata, inisiatif itu diambil berikutan keluarga-keluarga yang dikenakan kuarantin ini tidak boleh keluar untuk mencari barangan makanan dan bekerja. 

“Sebelum ini kita agihkan barangan makanan asas kepada keluarga yang di kuarantin dan kali ini kita agih makanan lauk basah pula.

"Seterusnya, pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan agihkan kepada penerima di kampung masing-masing," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bantuan berkenaan semalam.

Selain itu, Shaharizukirnain juga berkata, setakat ini agihan ditumpukan di DUN Permaisuri dan Langkap kerana jumlah keluarga yang dikenakan kuarantin agak ramai.

“Insya-Allah selepas ini kita akan agihkan untuk DUN Jabi pula," jelasnya.


Tag: