• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Pekebun Bimbang Serangan Gajah Liar Berulang

Pekebun memeriksa pokok kelapa sawit yang musnah akibat serangan gajah liar

Dua pemilik kebun kelapa sawit di Kampung Air Putih, Kemaman terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM30,000 selepas 200 batang pokok kelapa sawit yang diusahakan sejak lima tahun lalu musnah dalam serangan gajah liar, pagi tadi.

Menurut mereka, serangan ituberlaku pada awal pagi tadi apabila empat sekawan gajah liar yang datang dari Hutan Simpan Air Putih memasuki kebun seluas 12.5 hektar untuk mencari makanan di situ.

Antara pokok kelapa sawit yang dimusnahkan oleh gajah liar

Pekebun itu mendakwa, kejadian sebegini bukanlah kali pertama kerana sepanjang lima tahun mengusahakan kebun berkenaan sudah berlaku banyak kes serangan gajah terhadap tanaman yang diusahakan mereka sehingga terpaksa menanggung begitu banyak kerugian.


Mokhtar Junoh

Menurut pekebun berkenaan, Mokhtar Junoh, 63, serangan pada awal memusnahkan sebanyak 40 batang pokok kelapa sawit yang berumur lima tahun menyebabkan dia mengalami kerugian sebanyak RM10,000.

Katanya, aduan kepada Pejabat Perlindungan Haiwan Liar (Perhilitan) mengenai masalah ini sudah dibuat namun sehingga sekarang tiada tindakan yang serius diambil bagi menangani masalah tersebut.

"Perkara ini sudah lama berlaku, bukan kebun saya sahaja yang kena tapi ramai lagi. Namun rakan yang lain semua mempunyai kebun yang besar jadi tidaklah terbeban sangat kalau pokok mereka musnah.

"Tapi bagi kami yang mempunyai kebun yang kecil memang terasa kerugiannya kerana banyak modal sudah dihabiskan untuk menanam pokok dan sekarang semua sudah musnah, jadi bagaimana kami hendak mencari modal untuk tanam semula," katanya.

Dia berharap supaya pihak berkaitan dapat memandang serius berkenaan perkara tersebut supaya kehadiran gajah liar di kawasan kebun mereka dapat diatasi.


Rosli Abdullah
Bagi Rosli Abdullah, 37 , dia sudah empat kali membuat aduan kepada Perhilitan namun tiada tindakan serius seperti usaha untuk menangkap  gajah liar tersebut dan serangan terbaru itu memusnahkan kira-kira 130 batang pokok kelapa sawitnya menyebabkannya kerugian sebanyak RM20,000.

"Kebanyakan pokok yang musnah sudah cukup umur dan boleh dituai hasilnya tetapi pagi ini bila lihat pokok yang hendak dituai sudah rosak memang sedih kerana semua usaha selama ini menjadi sia-sia.

"Banyak aduan sudah dibuat tetapi sehingga sekarang senyap begitu sahaja dan kami pernah berjaga sehingga lewat pagi untuk menghalau gajah sekiranya datang tetapi bagaimana dengan keselamatan kami sekiranya ia menyerang dan kami tidak mempunyai senjata untuk melawannya, " katanya.

Rosli berharap supaya keadaan yang membelenggu mereka sejak sekian lama ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana mengancam keselamatan setiap kali di kebun.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan (ADUN) Air Putih, Abdul Razak Ibrahim ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menunggu laporan dari pekebun terbabit dan akan berhubung dengan pihak Perhilitan Negeri  untuk mencari jalan penyelesaian terbaik berkenaan perkara itu sebaik sahaja menerima laporan penuh.


Tag: