Pekerja Premis Makanan Tiada Kod Pakaian Khusus, Tapi Wajib Sopan
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Negeri menekankan pemakaian sopan selaras dengan nilai budaya tempatan, sejajar dengan prinsip Indahnya Hidup Bersyariat bagi pekerja kedai makan atau restoran walaupun tiada garis panduan khusus mengenai kod pakaian terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tiada sebarang garis panduan rasmi mengenai kod pakaian khusus bagi pekerja wanita di kedai makanan dan francais.
"Tiada sebarang garis panduan kod pakaian pekerja wanita di kedai makanan dan kedai francais kerana ia adalah di luar bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Namun begitu, pekerja-pekerja wanita adalah dinasihatkan berpakaian sopan untuk mematuhi nilai-nilai budaya tempatan serta prinsip kesopanan yang ditekankan oleh kerajaan negeri," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Namun begitu, pekerja premis makanan diwajibkan mematuhi peraturan kebersihan dan keselamatan makanan yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 281), termasuk pemakaian penutup kepala, apron dan kasut.
Katanya, peraturan ini dikuatkuasakan melalui syarat lesen yang diberikan oleh pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Dalam masa yang sama, isu berpakaian tidak sopan di tempat awam boleh dikenakan tindakan di bawah bidang kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
"Mengikut Seksyen 34, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, individu yang berpakaian tidak sopan di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali," tambah beliau lagi.