Pelabuhan LKIM Chendering Naik Taraf

KUALA TERENGGANU, 25 Februari -  Kerajaan negeri kini giat melaksanakan projek penaiktarafan pelabuhan dimiliki oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Chendering yang terkesan akibat mendapan pasir.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dr. Azman Ibrahim berkata projek yang sedang berjalan di pelabuhan itu akan melalui dua fasa di sepanjang proses penaiktarafan dilaksanakan.

“Fasa pertama kerja-kerja di daratan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan fasa kedua kerja-kerja dalam air oleh Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS).

“Kerja di daratan merangkumi skop menaik taraf infrastruktur pelabuhan manakala kerja-kerja dalam air merangkumi skop merobohkan jeti sedia ada, pengorekan untuk mendalamkan pelabuhan serta menaiktaraf dan membina benteng pemecah ombak.

“Projek fasa satu dijadualkan siap pada Oktober 2028 sementara fasa dua dijadualkan siap Ogos 2031," beliau berkata sedemikian melalui satu hantaran Facebook rasminya, semalam.

Menurut beliau, keputusan untuk penaiktarafan itu terhasil daripada usaha kerajaan negeri bersama LKIM melalui Bengkel Transformasi Perikanan Negeri Terengganu pada tahun 2021.

“Selepas melalui pelbagai proses yang agak panjang dan rumit, akhirnya zaman kerajaan Pakatan Nasional (PN) pada 27 Februari 2023, Kementerian Ekonomi telah meluluskan RM192 juta untuk Projek Pembangunan dan Pemerkasaan PLC.

Dalam pada itu, Dr. Azman menerangkan bahawa antara isu utama yang dihadapi PLC ialah mendapan pasir dan kedhaifan infrastruktur yang menyebabkan satu-satunya pelabuhan perikanan di Terengganu itu bukan lagi pilihan utama sebagai tempat berlabuh dan mendaratkan hasil tangkapan.

“PLC yang mula beroperasi pada 1983 dan melalui zaman kegemilangannya pada tahun 90-an kini mulai suram.

“Dengan siapnya kerja-kerja ini, insya-Allah kita akan dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan PLC,” tambahnya.