• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pelaburan Petronas, Firma Jerman Janji Pulangan Lumayan Buat Rakyat

MARANG, 31 Ogos- Perjanjian yang dimeterai antara syarikat usahasama Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) dan frima Jerman, PCC SE bersama syarikat milik kerajaan Terengganu, Menteri Besar Terengganu (Incorporated) atau MBI, mampu memberikan pulangan lebih baik kepada kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, persefahaman itu membolehkan kerajaan negeri melanjutkan usaha memiliki lima peratus kepentingan projek pengeluaran bahan mentah kimia, Oxyalkylates di Kerteh.

“Sebagaimana yang kita lihat keadaan sekarang dan sebelum ini, kebanyakan projek yang dijalankan di negeri Terengganu adalah diantara usahasama syarikat-syarikat tertentu sahaja, samada melibatkan syarikat tertentu dan konglomerat besar seperti Petronas dan ExxonMobil dan sebagainya tanpa ada penglibatan daripada kerajaan negeri.

“Apa yang berlaku semalam adalah satu proses di mana kerajaan negeri melalui MBI memulakan satu inisiatif untuk membuat melakukan ‘due diligence’ (usaha wajar) untuk membolehkan kita melihat seluruh perkara berkenaan projek tersebut dan potensi untuk kerajaan negeri memperolehi ekuiti sebanyak lima peratus daripada keseluruhan projek berkenaan.

“Dengan kerajaan negeri mempunyai ekuiti tertentu walaupun  apa jua peratusannya, tentulah ada hasil kepada kerajaan negeri secara langsung berbanding dengan projek-projek yang dilaksanakan melalui usahama syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Turun Padang dan Jamuan Rakyat sempena Penyerahan Suratan Hakmilik Tanah dan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) DUN Pengkalan Berangan di Dewan Sivik Merchang, di sini hari ini.

Jelasnya, kerajaan negeri berjaya mendapatkan persetujuan due diligence bagi membolehkan kerajaan negeri melihat dokumen-dokumen secara menyeluruh.

“Itulah tujuan kita menandatangani surat hasrat (Expression Of Interest atau EOI letter) semalam, setelah selesai barulah kita tahu jumlah atau nilai komitmen berdasarkan ekuiti lima peratus yang dipegang MBI sebenarnya.

“Selepas itu, akan ada hasil kepada kerajaan negeri berdasarkan ekuiti kita dalam projek berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Pengurusan PCC SE, Peter Berger memaklumkan, pembinaan kemudahan Petronas dan PCG telah bermula pada 2021 dan pengeluaran dijadualkan bermula pada 2023. 

"Apabila beroperasi sepenuhnya, kilang itu akan menghasilkan sehingga 70,000 tan setahun bagi etoksilat khusus dan poliol polieter khusus. 

"Projek ini merupakan loji dwi-kereta api pertama di Asia Tenggara (SEA) untuk oksialkilat, yang menyasarkan untuk menangkap permintaan yang semakin meningkat terutamanya di rantau SEA dan Asia Pasifik," ujarnya.

Pelaburan 'oxyalkylates' PCG dan PCC SE yang berterusan dijangka akan menjana peluang pekerjaan, termasuk pekerjaan berkemahiran tinggi untuk masyarakat setempat.

 


Tag: