• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pelaburan Projek Mega Lada Hitam RM360 Juta Ubah Nasib Rakyat

KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Pelaburan projek mega tanaman lada hitam bernilai RM360 juta bakal mengubah landskap serta sosioekonomi penduduk di Rhu Tapai, Setiu dan kawasan sekitarnya. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek itu akan dilaksanakan syarikat gergasi dari luar negara iaitu McCormick dengan menawarkan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan.

Katanya, ia dijalankan di beris (tanah bercampur liat dan pasir) seluas 600 hektar dan Terengganu adalah satu-satunya negeri yang mempunyai ladang lada hitam secara komersial daripada syarikat terbabit.

“McCormick ada menawarkan dalam bentuk produk-produk di Malaysia sejak puluhan tahun lalu, tetapi dari segi pembukaan ladang lada hitam Terengganu adalah yang pertama di Malaysia.

“Penanaman lada hitam di tanah beris belum ada lagi daripada ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Menandatangani Perjanjian Projek Penanaman Lada Hitam di daerah Setiu antara Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu dan Terengganu Agrotech Development Corp. Sdn Bhd (TADC) dengan McMormick Global Ingredients Malaysia Sdn Bhd di Wisma Darul Iman hari ini.

Menurutnya, projek ini dilakukan secara berfasa dan dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2025.

“Tiga fasa dan untuk fasa pertama ialah infrastruktur, perparitan dan proses penanaman secara berperingkat bermula pada bulan September 2022, penanaman fasa pertama.

“Lada hitam ditanam selepas tiga tahun. Kita akan menggunakan tenaga manusia, tidak ada lagi mesin, tenaga pekerja agak ramai digunakan. Kita bermula dengan 25 orang untuk fasa pertama yang mana setiap dua hektar tanah untuk seorang peserta,” ujar beliau.

Katanya, pelaksanaan projek tersebut dibuat selepas McCormick berjaya membuktikan lada hitam boleh ditanam di tanah beris melibatkan percubaan seluas 20 hektar melalui kaedah 'Proof Of Concept' (POC).

“Penanaman lada hitam komersial di atas tanah seluas 600 hektar ini turut disertakan sekali dengan pembinaan kilang pengering.

Beliau menambah, kerajaan negeri turut melibatkan komuniti setempat yang diuruskan oleh Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC).

“Apa sahaja  tanaman yang boleh menghasilkan pengeluaran makanan  untuk negeri Terengganu kita alu-alukan  dan setiap pelabu datang ke negeri Terenggganu mereka perlu memenuhi tiga kriteria asas iaitu penjelasan skop projek apa yang mereka nak buat.

“Kedua, keperluan kerajaan negeri perlu bantu dan ketiga apa yang rakyat negeri Terengganu boleh dapat manfaat sebab kita tak ingin rakyat Terengganu cuma menjadi kuli atau penonton sahaja apabila projek mega masuk,” tambah Dr Azman.

 


Tag: