• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Pelajar Ceria Terima Bantuan Persekolahan TNB

KUALA NERUS, 24 Mac - Keceriaan jelas tergambar di wajah 200 orang pelajar dari empat buah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kuala Nerus apabila menerima sumbangan set kelengkapan ke sekolah daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) hasil kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Pelajar berkenaan yang terdiri daripada kumpulan B40 menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 daripada TNB dan juga sagu hati.

Mereka yang terpilih diraikan dalam satu Majlis Ceria Ke Sekolah TNB di Duyong Marina Resort, bersama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus. 

Salah seorang penerima, Mohd Anuar Rusni, pelajar Tingkatan 2 Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri meluahkan rasa gembira kerana terpilih sebagai salah seorang penerima.

"Saya terharu dengan sumbangan yang diberi oleh TNB dan insya-Allah saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk masa depan saya. Terima kasih TNB dan YB (Yang Berhormat) Dr Khairuddin," katanya ketika ditemubual.  

Dalam pada itu, Dr. Khairuddin berharap bantuan itu dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi keluarga kurang berkemampuan dalam membuat persediaan anak mereka ke sekolah, terutama berikutan pandemik COVID-19. 

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih dan terharu atas kerjasama yang diberikan oleh TNB dalam menyalurkan sumbangan kepada sebahagian pelajar di Kuala Nerus yang dikategorikan sebagai kurang kemampuan.

"Program sebegini bukan sahaja dapat meringankan beban ibu bapa keluarga bahkan membina semangat yang akan melahirkan insan cemerlang di masa hadapan," katanya dalam majlis tersebut. 

TNB perlu dicontohi oleh syarikat lain untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membantu rakyat dalam bentuk apa sahaja keperluan.