• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pelajar Kongsi Idea, Hasilkan e-Beca

KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Idea kreatif empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek mencipta beca elektronik (e-beca) membuahkan hasil apabila pasukan mereka dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Inovasi Beca Terengganu 2020, semalam.

Kemenangan itu membolehkan pasukan yang diketuai Muhammad Abidin Azman, 16, di samping Aidi Syamil Muhizulahfaz, 16, Muhammad Iddin Hafiz Mosli Hafiz,13, dan Wan Muhammad Izdihar Wan Ahmad Amli, 13, meraih geran pembangunan inovasi bernilai RM90,000.

Geran berkenaan bakal dikongsikan bersama pasukan Solar Power Electric Beca dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang turut diumumkan sebagai pemenang bagi kategori sama.

Muhammad Abidin berkata, pasukannya mengambil masa kira-kira tiga bulan bagi menyiapkan prototaip e-beca itu dengan membabitkan kos sebanyak RM1,809.

Katanya, e-beca yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya itu mampu memuatkan empat penumpang dengan mengetengahkan konsep flora dan fauna di samping ciri-ciri norma baharu untuk menarik pelanggan.

“Sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, e-beca turut dilengkapi alat pemeriksaan suhu dan peralatan sanitasi.

“Cabaran untuk menyiapkan e-beca tentunya kekangan masa kerana proses pembuatan hanya boleh dibuat pada sebelah petang selepas kami semua habis waktu persekolahan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Pertandingan Inovasi Beca Terengganu Secara Atas Talian di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Sharmila Mohamed Salleh dan Pengarah SME Corp. Malaysia Terengganu, Rosman Zamri.

Menurut Muhammad Abidin, geran RM45,000 itu akan dimanfaatkan bagi membesarkan lagi saiz e-beca di samping menaik taraf bateri yang lebih berkuasa tinggi.

Sementara itu, menurut Ahmad Amzad, beca Terengganu yang terkenal sebagai alatan pengangkutan utama suatu ketika dulu perlu diinovasikan supaya lebih mudah digerakkan dan selesa sesuai dengan perkembangan semasa.

 


Tag: