• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pelajar Pendidikan Khas Lincah Jual Donat

Oleh: Muhammad Zamarul Hisyam Mohd Safri

HULU TERENGGANU, 18 Januari – Kesungguhan seorang pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (pembelajaran) Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong, Muhammad Farish Ikhwan Abdul Razak mengusahakan perniagaan menjual donat menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Maliaman Kassim untuk menghulurkan bantuan.

Maliaman berkata, apa yang dilakukan oleh pemuda itu wajar dicontohi oleh golongan belia di luar sana khususnya yang dilahirkan segala sempurna.

Katanya, memegang status orang kelainan upaya (OKU) sebenarnya bukanlah satu hal yang mudah kerana perlu berhadapan dengan stigma masyarakat yang meragui keupayaan mereka.

 “Ini adalah satu usaha yang sangat bagus ditunjukkan oleh adik Farish kerana mempunyai semangat tinggi untuk menjadi seorang usahawan muda yang berjaya dan terkenal.

"Dengan adanya mesin pengadun yang baru ini, Insyaallah ia mampu menyiapkan adunan tepung dalam pembuatan donatnya itu dengan kadar yang cepat dan tidak memerlukan tenaga berat apabila menguli menggunakan mesin ini,” ujarnya selepas menyerahkan mesin pengadun donat kepada remaja itu di gerainya, baru-baru ini.

Maliaman berkata, pelbagai bantuan disediakan untuk membantu usahawan muda yang mempunyai kehendak dan kesungguhan yang tinggi dalam mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan.

Sementara itu, Farish Ikhwan berkata, walau dilahirkan OKU (pembelajaran), status itu tidak menjadi penghalang untuknya menceburkan diri dalam bidang yang diminati walaupun terpaksa bersengkang mata menyiapkan adunan donat.

Katanya, dia kini mampu berbangga kerana berjaya mengusahakan perniagaan menjual donat yang menjadi kegemaran ramai.

“‘Hadiah' daripada Ustaz Maliaman ini cukup bermakna kerana dengan adanya mesin pengadun ini dapat memudahkan lagi kerja saya untuk mengadun tepung dalam memproses donat.

"Saya hanya manfaatkan hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu untuk menjual donat pelbagai perisa seperti donat susu, red velvet dan yang paling istimewa iaitu donat pandan,” ujar Farish Ikhwan.

Gurunya, Suriati Mohamad Nor berkata, berkat sokongan ibu Robiah Salleh perniagaan anak didiknya itu semakin bertambah baik dan sentiasa mendapat permintaan.

“Insyaallah dengan bantuan dan sumbangan daripada Ustaz ini, Farish akan berjaya dalam bidang bagi saya dia sendiri sangat minat dan sanggup bangun pada pukul 4 pagi untuk membuat donat untuk jualannya.

"Saya sangat bersyukur dengan bantuan mesin pengadun ini. Terima kasih atas keprihatinan Ustaz Maliaman dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di sini yang sentiasa cakna dan menyokong para peniaga yang memerlukan dorongan dan juga bantuan," katanya.


Tag: