• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Pelajar Perlu Dampingi Al-Quran



Oleh : Rizauddin

DUNGUN, 15 Mac- Para pelajar perlu menguasai asas membaca al-Quran dan sentiasa mendampingi kalam Allah itu agar dapat membantu memudahkan mereka dalam menuntut ilmu.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, al-Quran terbukti mempunyai mukjizat dan sesiapa yang beramal dengannya pasti akan beroleh manfaat.

“Pelajar yang ingin cemerlang dalam akademik seharusnya lebih mendekatkan diri kepada al-Quran kerana ianya mempunyai keistimewaan yang luar biasa.

“Al-Quran adalah satu modul yang akan membantu kita menjadi sangat cerdik dan sememangnya mempunyai keunikan yang tersendiri selain dapat melegakan tekanan perasaan yang dihadapi jika membacanya,” ujar Wan Hassan.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Projek, Penetapan Target dan Temu Murni calon PT3 dan SPM 2020 di Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail Dungun, baru-baru ini.

Beliau turut meminta semua pelajar meletakkan matlamat kerana proses pembelajaran memerlukan sifat komited yang tinggi untuk mendapat kejayaan.

Sementara itu, Wan Hassan turut menyeru ibu bapa agar menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak.

“Selain itu, mereka perlu sentiasa memantau pergerakkan anak-anak kerana ibu bapa penyumbang terbesar kepada kejayaan yang dikecapi oleh setiap anak,” ujarnya.

Tag: