• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pelajar Perlu Manfaatkan Tuisyen Rakyat

DUNGUN, 9 Januari - Para pelajar perlu manfaatkan Tuisyen Rakyat sebagai persiapan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, tuisyen secara percuma itu diadakan sebagai pecutan akhir sebelum bermulanya peperiksaan SPM Februari nanti.

"Beri tumpuan sepenuhnya kepada kelas tuisyen ini, belajar bersungguh-sungguh jangan culas, mesti tanamkan azam berjaya dalam SPM dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) kerana kerajaan Negeri Terengganu berhasrat untuk melahirkan rakyat yang berilmu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Tuisyen Rakyat yang diadakan di Dewan Al-Husna, Markaz Tarbiyah Darul Ansor di Kampung Alor Mak Bah di sini baru-baru ini. 

Menurut Alias, seramai 122 orang pelajar Tingkatan Lima daripada empat buah sekolah terpilih di DUN Rantau Abang untuk menyertai tuisyen anjuran kerajaan negeri itu. 

"Sekolah - sekolah  itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pulut, Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Besar, Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Rantau Abang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Serai," ujarnya. 

Disamping itu, beliau turut berharap agar ibu bapa dan calon-calon SPM juga sentiasa melakukan solat hajat memohon pertolongan Allah SWT supaya kejayaan yang dicita-ciatakan tercapai. 

"Sekuat manapun usaha kita kalau  tanpa pertolongan Allah, kita tidak berjaya begitu juga kalau langsung tidak 'study' tapi solat hajat, tidak jadi juga. Kita mestilah berusaha diikuti doa dan kemudian tawakal iaitu berserah kepada Allah SWT," ujarnya. 


Tag: