• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pelajar Pondok Ibtada’i Bakal Jadi Perintis Program Kemahiran

HULU TERENGGANU, 29 Disember – Seramai 30 pelajar Pondok Ibtada’i, Ajil menjadi perintis kepada pelaksanaan program kemahiran dengan kerjasama Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) Hulu Terengganu dalam bidang pertukangan dan perkayuan apabila menerima sijil tamat latihan semalam.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Pendidikan Dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim, berkata menerusi program kemahiran seperti ini, peluang pelajar tahfiz untuk berdikari dalam kehidupan selepas tamat pengajian akan lebih luas.

 

Katanya, ini merupakan inisiatif pertama dalam negara khususnya yang memberi fokus kepada pelajar pondok dan ia adalah satu cara kerajaan negeri untuk memperkasakan mereka dan akan dilebar luas serta dilakukan secara berperingkat. Justeru itu, pelajar tahfiz perlu bijak mengambil peluang dengan belajar ilmu tambahan selain bidang utama untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran mereka.

“Sebelum ini kebiasaan yang kita tahu pelajar pondok ini hanya tahu menadah kitab, tetapi sekarang ini terbukti pelajar aliran Agama juga sudah setanding dengan pelajar pelajar yang belajar di institusi kemahiran yang ada di negara ini. Pelajar ini bukan sahaja dibekalkan dengan ilmu agama dan akademik, sebaliknya dilengkapi dengan pengetahuan asas kemahiran.

 


 “Pelajar yang mempunyai kemahiran peluang untuk berjaya dalam hidup bukan hanya tamat di institusi pondok dan tahfiz, sebaliknya mereka yang mendalami ilmu agama ini juga mampu memperoleh pendapatan tinggi melalui kemahiran dimiliki. 

“Mereka yang mempunyai kemahiran dalam sesuatu bidang ditambah dengan daya kreativiti mampu memperoleh pendapatan yang lebih besar jika diusahakan bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui  wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penutup Dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Program Pemantapan Kemahiran Pelajar Pondok Negeri Terengganu ( Pondok Ibtida'i, di Terengganu Timber Industry, semalam.

Sementara itu, Muhammad Shahrul Ashraf Mohd Ropi,13, berkata, dia teruja menyertai kursus berkenaan, berikutan (TTITC)  memberi asas kemahiran sekali gus memenuhi minatnya dalam bidang pertukangan kayu.


“Ia memberi satu lagi nilai tambah pada saya kerana selain mampu menghafal Al-Quran, saya juga belajar kemahiran lain sebelum memasuki alam pekerjaan. Keluarga juga beri sokongan untuk ikuti program ini,” kata anak kelahiran Chador, Kemaman itu.


Bagi Mohd Lukman Mohamad, 34, pula berkata, menerusi program itu beliau mempunyai peluang atau akses mudah untuk menceburi bidang pembuatan Pergola dan Landskap Taman.

 “Alhamdulillah. Terima kasih kepada kerajaan negeri dalam melaksanakan program kemahiran kepada pelajar institusi pondok dan tahfiz dengan semua kos ditanggung kerajaan," katanya.