• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Pelajar Sekolah Dinasihatkan Jaga Displin



Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 1 Januari- Pelajar sekolah dinasihatkan agar menjaga disiplin diri sebagai seorang pelajar termasuk menjaga kekemasan diri termasuk potongan rambut dan sebagainya.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, sebagai pelajar adalah penting untuk mendisiplinkan diri agar menjadi pelajar yang berakhlak, berketrampilan sesuai sebagai pelapis kepimpinan negara di masa akan datang.

“Anak-anak kini didapati yang suka memotong rambut mengikut ‘trend’ semasa, justeru ibu bapa jangan ikut sangat kehendak anak-anak malah tukang gunting pun diharap tidak melayani sangat kehendak pelajar, biarkan mereka (anak-anak) perbetulkan niat datang sekolah hendak belajar dan bersedia mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah;" ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Gunting Rambut Secara Percuma yang dianjurkan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bukit Besi, baru-baru ini.

Ghazali berkata, program tersebut dianjurkan bagi meringankan bebanan ibu bapa dan juga sebagai tanda sokongan dari pihaknya terhadap dunia pendidik.

Ghazali berkata, pihaknya juga turut berterima kasih kepada Ariel Barber Shop yang sudi menerima tawaran pihak PKM Dun Bukit Besi bagi menjayakan program berkenaan.

Tag: