• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pelajar Sekolah Paling Berisiko Terlibat Dadah

KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Penyalahgunaan dadah bukan sahaja melibatkan golongan dewasa malah lebih mebimbangkan ia turut menular di kalangan pelajar sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, langkah mengenalpasti pelajar yang dikhuatiri terlibat dengan masalah berkenaan perlu diambil dengan lebih serius.

"Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Pejabat Pendidikan negeri telah turun ke lapangan membuat ujian air kencing.

"Walaupun tidak ada tanda-tanda ataupun gejala, tetapi terdapat unsur-unsur yang kita bimbangi maka tindakan sedemikian dilakukan akhirnya apa yang dicurigai itu ternyata berasas apabila ditemui ada pelajar terlibat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung pada Program Munajat Rakyat Terengganu, di TV Darul Iman (TVDI), baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata bertitik tolak daripada perkembangan itu dan peningkatan kes di Terengganu dengan nisbah 916 bagi setiap 1000,000 penduduk terlibat dadah, kerajaan negeri telah mewujudkan Pusat Pemulihan Dadah Holistik.

"Kerana itu kerajaan mengambil tanggungjawab mewujudkan Pusat Perkampungan Darul Barakah sebagaimana yang dijanjikan melalui manifesto.

"Dengan peruntukkan sebanyak RM1 juta telah dikeluarkan pada peringkat awal ini bagi menjayakan Pusat Pemulihan Dadah Secara Holistik, ia bukan seperti pusat pemulihan yang lain.

"Sebaliknya konsep pengajian adalah seumpama di pondok juga diberikan kemahiran agar berupaya membina kehidupan yang terjamin di masa hadapan dan dipastikan tidak mengulangi lagi kesilapan lampau," katanya.

Jelasnya, menyelesaikan masalah berkenaan merupakan salah satu usaha kerajaan melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) bagi membangunkan modal insan di negeri ini.

"Kita meletakkan pembangunan insan sebagai asas yang penting dalam PITAS sebagaimana yang pernah diumum dan dibentangkan Menteri Besar .

"Tetapi sudah tentulah terpaksa berhadapan dengan cabaran yang banyak kerana kita hendak mengubah dan membina manusia bukan membina bangunan atau jalan raya .

"Yang kita hendak ubah adalah kerohanian, minda dan hati manusia ," katanya.


Tag: