• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pelajar SPM, STPM Terengganu Dijangka Selesai Vaksin Sebelum Oktober

KUALA NERUS, 8 September – Kerajaan negeri akan memastikan sektor pendidikan selamat sepenuhnya sebelum dibuka kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan melengkapkan proses vaksinasi terhadap golongan terbabit sebelum Oktober.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, kebanyakan guru dalam negeri sudah lengkap divaksin dan akan diikuti pelajar yang bakal mengambil peperiksaan awam berumur 17 hingga 18 tahun.

Katanya, pihaknya turut memberi kemudahan khususnya buat pelajar-pelajar yang ingin menyambung pengajian terutamanya di luar negara pada bulan September walaupun berusia bawah 18 tahun untuk menerima vaksin.

“Permohonan khas boleh diteruskan kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) daerah masing-masing ataupun Pusat Pemberian Vaksin (PPV) masing-masing, para pelajar boleh juga hadir bersama ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas kerja pengagihan bantuan air di di Dewan Serbaguna Tepoh, pagi tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Pegawai Khas (Hal-Ehwal Bukan Islam), Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan.

Mengulas tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa pembukaan sekolah akan datang, Satiful menjelaskan, pihaknya akan berpandukan kepada panduan peringkat Kementerian Pendidikan.

“Bagi kawasan terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masih tidak boleh beroperasi,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, remaja berusia 18 tahun ke bawah bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 pada minggu depan bermula dengan di Sarawak.

Dalam masa sama, seramai 95,000 pelajar sekolah menengah di negeri ini layak menerima vaksinasi Covid-19 sebagai persediaan menjelang pembukaan sesi persekolahan tidak lama lagi menurut Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong.