KUALA TERENGGANU, 13 Mei – Terengganu Skills Development Centre (TESDEC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Multimedia (MMU) bagi mencorakkan masa depan pendidikan teknikal dan digital, khususnya di Terengganu.
Ahli Lembaga Pengarah TESDEC Berhad, Sulaiman Sulong berkata, MoU tersebut merupakan langkah penting ke arah membentuk kerjasama strategik dalam memperkasa pendidikan teknologi, khususnya dalam bidang teknikal dan digital di negeri ini.

“Melalui MoU ini, beberapa fokus utama telah dikenal pasti, antaranya memperkukuh sinergi antara bidang ICT dan TVET bagi melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Terengganu Skills dan MMU di Dewan Akademik, Tingkat 3, Bangunan Canseleri, MMU, Cyberjaya, baru-baru ini.
Dalam perjanjian itu, pelajar turut bakal menerima manfaat melalui peluang mendapatkan persijilan profesional seperti CSWIP 3.0 Visual Inspection serta sijil NDT (MT & PT Level 2), yang mempunyai nilai tinggi dan permintaan besar dalam sektor industri.

“Kerjasama ini turut merangkumi perkongsian sumber dan kepakaran, termasuk tenaga pengajar, kemudahan fasiliti serta teknologi terkini, yang diyakini mampu meningkatkan kualiti latihan serta mempercepatkan inovasi dan penyelidikan,” katanya.

"Selain itu, MoU ini turut membuka laluan akademik kepada pelajar TESDEC untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di MMU melalui mekanisme pemindahan kredit, sekali gus memberi kelebihan dari segi masa dan kos pengajian,” katanya.
Tag :