• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pelaksanaan Tabung Usahawan Mampu Tingkat Pinjaman 300 Peratus

Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman yakin kerajaan negeri akan meneruskan usaha melatih para usahawan.
KUALA TERENGGANU - Pelaksanaan Manifesto Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk menyediakan tabung usahawan sebanyak RM10 juta dijangka mampu meningkatkan jumlah pinjaman usahawan kepada 300 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, pihaknya sedang berusaha untuk melaksanakan janji tersebut yang akan memberi manfaat kepada orang ramai untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi setempat.

“Saya mendapat signal yang jelas daripada Menteri  Besar supaya melakukan perancangan ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan penutup Latihan Pembentukan Usahawan (LPU) Modal 3 (Rancangan Perniagaan) di Hotel Permai, di sini, 10 Oktober.


Sehubungan itu, beliau berkata, inisiatif menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu itu akan digerakkan sekiranya kedudukan kewangan negeri berada dalam keadaan baik.

“Kita akan masukkan elemen sewajarnya dan di peringkat YPU sendiri pun, kita sudah buat persediaan  untuk menerima dana sejumlah itu.

“Sebelum ini, YPU tidak pernah mendapat jumlah yang sebesar itu, mungkin RM2 atau RM3 juta sahaja,” jelasnya.

Beliau juga yakin kerajaan akan meneruskan usaha melatih para usahawan berikutan kejayaan sebelum ini.

“Insya-Allah dari segi permintaan kita berhasrat untuk teruskan latihan tetapi untuk sekarang ini kita  masih lagi tertakluk kepada keputusan negeri.

“Saya rasa harapan cerah untuk kita teruskan dan sekarang ini sudah 'batch' (kumpulan) kelima, mungkin kita akan adakan 'batch' keenam berdasarkan kepada permintaan.

“Tengok ‘background’ sejarah kita 87 peratus sudah berjaya. Daripada 135 peserta yang diberi latihan, 117 orang telah berjaya,” kata beliau lagi.

Tag: