• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pelaksanaan Undang-Undang Syariah Disambut Baik Masyarakat

KUALA TERENGGANU, 9 Januari – Pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Terengganu diterima dan disambut baik oleh rakyat di negeri ini.

Penolong Kanan Pesuruhjaya, (Akidah, Syariah dan Tamadun Islam) Bahagian Penyelidikan, JHEAT, Ahmad Azhar Harun@Musa berkata pelbagai pendekatan yang diambil oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu bagi membendung masalah jenayah syariah terus berlaku dalam kalangan rakyat.

Katanya, sebenarnya penguatkuasaan undang-undang tersebut sudah pun bermula seawal tahun 1303 Masihi setelah penemuan Batu Bersurat Terengganu di Kuala Berang.

“Ia adalah satu tanda bahawa masyarakat Terengganu telah melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang Islam.

“Penubuhan Mahkamah Syariah Terengganu pula ditubuhkan pada 29 Jun 1900 bagi menjalankan peraturan dan peruntukan undang-undang Islam di negeri ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman bertempat di Tingkat 2, Bahagian Penyelidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini baru-baru ini.

Tambah Ahmad Azhar, beberapa undang-undang telah dikuatkuasakan dan diperkasakan oleh pihak kerajaan seperti Seksyen 16 iaitu perkara berkaitan tidak menunaikan solat Jumaat.

Terdahulu, Undang Isytihar Kerajaan bilangan 22/1345 pada 1926, menetapkan pelaku didakwa di mahkamah kadi dan dihukum denda sebanyak RM0.50.

Kini, menurut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 mana-mana orang lelaki mukallaf, yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dalam mukimnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie tanpa sebab yang munasabah.

"Ia merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

 


Tag: