• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Pelan Pemulihan Pelancongan Terengganu Pastikan Pengunjung Selamat

BESUT, 6 Ogos - Kerajaan negeri akan memastikan kejadian seumpama bot lebih muatan yang terjadi di Pulau Kapas, tahun lalu tidak akan berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, bagi mengatasi isu berkaitan, pihaknya telah melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan Terengganu 2021.

"Tourism Terengganu bersama pihak berkuasa tempatan telah mengadakan satu panduan untuk keselamatan pelancong dengan memastikan had waktu keluar masuk dan jumlah kemasukan ke pulau-pulau dipatuhi.

"Kita akan cuba selesaikan isu-isu ini lebih  awal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara Outreach di Pulau Perhentian, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu), Fadli Yusof Zakaria dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Terengganu, Zanariah Zakaria. 

Kunjungan tersebut turut disertai pegawai penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh dan Pegawai Daerah Besut, Ahmad Farhan Abdul Wahab.

Jelasnya, fasa pertama pelan pemulihan berkenaan iaitu pembukaan sektor pelancongan secara selamat sedang dilaksanakan dengan mempercepatkan program vaksinasi kepada penggiat industri.

"Hari ini, seramai 279 penggiat dan pekerja pelancongan bersama 672 penduduk menerima vaksin di sini selepas program PICK di Tasik Kenyir, Pulau Kapas dan Redang baru-baru ini.

"Kita sasarkan akan selesai 100 peratus pada akhir Ogos, tetapi sekarang ramai yang masih bercuti dan berada di tanah besar.

"Jadi, kita telah berbincang dengan pejabat daerah dan kita akan kenalpasti supaya mereka boleh terima vaksin di kawasan masing-masing," katanya.


Tag: