KUALA TERENGGANU, 24 Julai – Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) mengambil langkah penting menggerakkan Pelan Strategik Wanita Terengganu 2026–2030 menjadikan suara komuniti wanita sebagai asas utama pembentukan dasar negeri.
Pengarahnya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, pelbagai input kritikal dikumpulkan bagi memastikan perancangan lima tahun yang bakal dirangka benar-benar berpaksikan realiti kehidupan wanita, bukan hanya bersifat dasar di atas kertas.
"Hasil bengkel ini akan dikompilasi sebagai dokumen input rasmi kepada penyediaan dasar wanita negeri, selari dengan matlamat Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030).
“Kita mahu dasar wanita negeri benar-benar mencerminkan suara dan keperluan wanita di akar umbi. Isu mereka, potensi mereka dan cabaran mereka semuanya mesti diberi tempat dalam perancangan negeri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini, mengulas mengenai Bengkel Penyelarasan USWa 2026-2030.
Menurutnya, antara perkara penting yang dibincangkan termasuk kelemahan pelapis kepimpinan wanita, ketidakseimbangan peranan wanita dalam kerjaya dan keluarga.
Selain itu, keciciran pendidikan dalam kalangan suri rumah, keterbatasan peluang ekonomi, dan isu kesihatan mental serta kekeluargaan.
"Pendekatan baharu dirangka seperti penglibatan terus wanita komuniti dalam perancangan program, modul latihan kepimpinan dan keusahawanan.
"Penggunaan teknologi digital untuk mendekati wanita muda, dan kerjasama rentas agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi kes berisiko," ujarnya.

Selain itu, USWa menetapkan beberapa indikator kejayaan utama iaitu peningkatan jumlah kumpulan kepimpinan wanita setempat (KWT), penyertaan wanita dalam program pembangunan komuniti.
"Peningkatan kemahiran teknikal, penurunan kes keganasan rumah tangga, dan pembabitan wanita dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta ekonomi mikro yang lebih berdaya saing," kata Tuan Roslina.
Beliau menambah, program-program yang bakal dilaksanakan akan melalui proses pemantauan berkala dan penilaian impak, bagi memastikan setiap inisiatif benar-benar memberi kesan langsung kepada kesejahteraan keluarga dan komuniti wanita.
“Bengkel ini bukan sekadar penyelarasan, tetapi satu permulaan untuk mengangkat suara wanita sebagai sebahagian daripada hala tuju negeri.
Kita mahu mereka bukan sekadar penerima dasar, tetapi penentu kepada masa depan mereka sendiri,” tambah Tuan Roslina.
