• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Pelancongan Desa Tingkat Ekonomi Penduduk Luar Bandar

Menteri KPLB, Rina Mohd Harun merasmikan Festival Kenyir 2018 di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu, hari ini

HULU TERENGGANU - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi penekanan kepada pembangunan pelancongan desa bagi meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

Menterinya, Rina Mohd Harun berkata, ini penting kerana secara tidak langsung mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat desa dan pada masa yang sama melahirkan usahawan dalam pelbagai bidang.

"Contohnya di Tasik Kenyir, aktiviti pelancongan kini mempunyai 90 rumah bot, 110 bot laju, 112 bot rekreasi dan sebagainya yang dipelopori oleh penduduk tempatan.

"Ada di kalangan usahawan rumah bot mencatat pendapatan sehingga RM 30,000 sebulan, usahawan bot laju memperolehi pendapatan sehingga RM600 sehari dan pengusaha kedai makan yang boleh mencecah RM45,000 sebulan,"kata Rina.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas merasmikan Majlis Festival Kenyir 2018 di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu di sini hari ini.


Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Ban­dar, R. Sivarasa; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim  serta Pengurus Besar Ketengah, Omar Ismail.

Rina berkata, pihaknya juga akan memberi bantuan dalam bentuk dana kepada usahawan yang berpotensi untuk memajukan bidang yang diceburi melalui beberapa buah agensi yang berada di bawah kementeriannya.

"Kita akan lihat dan cuba memperincikan bagaimana bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada usahawan-usahawan ini.

"Paling penting semangat keusahawanan dan setiap pengusaha perlu mempunyai kreativiti tersendiri seperti tarikan rumah bot dari segi hiasan dan ada karekter yang unik,"ujarnya.

Sementara itu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) disarankan merancang projek baharu bagi meningkatkan lagi keboleh pasaran Tasik Kenyir ke seluruh dunia dengan pelbagai tarikannya yang tersendiri.

"Ketengah perlu melihat pasaran-pasaran baru terutama negara Timur Tengah yang amat tertarik dengan elemen air dalam bentuk sebegini besar.

"Antara yang boleh diberi penekanan ialah konsep pelancongan Islam yang mampu menarik pelancong Muslim dari seluruh dunia,"katanya lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, Omar berkata pihaknya sedang merancang untuk mewujudkan program homestay atau inap desa di Kampung Basung dan Pasir Dula, iaitu dua buah kampung yang berada di laluan utama ke Tasik Kenyir.

"Sebagai pintu masuk, inap desa ini amat sesuai bagi mengetengahkan pengalaman tinggal bersama masyarakat di kampung-kampung sekitar dan mampu melahirkan usahawan tempatan yang maju dan dapat bersama-sama memajukan industri pelancongan di Tasik Kenyir.

"InsyaAllah KPLB dan Ketengah akan meneliti perkara ini bagi melihat kesesuaiannya dalam usaha memberi faedah kepada penduduk luar bandar," katanya.


Tag: