• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pelancongan Luar Bandar Bakal Dirancakkan Lagi

 

 

DUNGUN, 23 September - Kerajaan negeri bersedia melihat pembangunan dan potensi kawasan-kawasan rekreasi yang terdapat di semua daerah bagi merancakkan eko-pelancongan dan ekonomi penduduk kampung tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya akan memastikan potensi ini mampu membawa manfaat kepada masyarakat kerana kawasan-kawasan tersebut mampu hasilkan pelbagai nilai pelancongan melibatkan sejarah, produk baharu dan ekosistem sungai.

Jelas beliau, pihaknya kini bergerak ke arah community based tourism (CBT), bagi pengurusan yang lebih strategik kawasan-kawasan rekreasi inu.

"Kita ingin memastikan kesemua pusat pelancongan khususnya di kampung-kampung yang strategik di seluruh negeri dikawal oleh pejabat daerah, pejabat hutan, ataupun bawah Lembaga Tabung Kerajaan negeri.

"Akan tetapi asas komuniti yang paling utama sekali ialah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) mesti terlibat 
supaya tidak menjadi satu konflik pada masa akan datang. 

"Kalau dulu satu tempat tu tidak mendapat sambutan, tiada yang kisah tentang pengurusannya tetapi bila mendapat sambutan macam ini, ramai yang berminat termasuk agensi luar yang boleh menyebabkan orang tempatan berputih mata dari segi ekonomi mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke kawasan rekreasi Hulu Dungun, di sini hari ini.

Justeru itu katanya, kerajaan negeri sedang melihat kesemua pusat-pusat rekreasi ini yang menjadi tumpuan pelancong khususnya selepas Covid19 yang semakin reda khususnya di Terengganu.

"Isu ini timbul apabila pelancong  semakin berminat sebenarnya untuk datang ke pusat rekreasi luar bandar menyebabkan kalau ada tandas, tandas kena cukup termasuk surau dan banyak lagi perubahan yang perlu dibuat sesuai dengan norma baharu," ujarnya.