• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pelarasan Tarif : SATU Tambah Baik Perkhidmatan Air

KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) menjamin usa­ha penambahbaikan dilakukan secara teratur, cekap dan berkesan demi kepentingan pengguna selaras dengan perubahan tarif bermula 1 Februari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts Abdul Karim Endut, berkata perubahan kadar baharu itu nanti membolehkan SATU memperoleh ‘suntikan’ modal bagi menjalankan kerja-kerja memperbaiki, menukar serta menaik taraf sistem perpaipan yang uzur seterusnya mengagihkan bekalan air terawat kepada pengguna dengan lebih cekap di Terengganu.

“Kenaikan tarif harus dilihat secara positif yang memberi kebaikan kepada pengguna, bukannya tindakan yang membebankan kerana hasil unjuran pendapatan akan 'dikembalikan' kepada rakyat melalui peningkatan tahap perkhidmatan.

"Pelarasan ini akan membantu kerja-kerja pembangunan, naik taraf, baik pulih serta penyelenggaraan infrastruktur bekalan air dengan lebih lancar dan sempurna menambah baik kualiti bekalan air dilaksanakan.

"Kita dapat gunakan lebihan hasil bagi membaik pulih paip-paip uzur di samping mengatasi isu tekanan air rendah sekitar dan beberapa penambahbaikan lain,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman( UPDI) hari ini.

Operasi menaik taraf sistem perbekalan air di Marang.

Tambahnya,  kenaikan purata 22 sen bagi setiap meter padu seperti yang diselaraskan SPAN adalah masih tidak mencukupi untuk mengatasi kenaikan kos operasi sejak kali terakhir tarif air di Terengganu disemak pada 1997.

“”Sejak SATU ditubuhkan, syarikat berkenaan tidak pernah membuat semakan atau menaikkan kadar tarif air bagi pengguna domestik. Ia bererti kadar tarif domestik tidak berubah sejak 1997 hingga 2023 selama 26 tahun.

"Dalam tempoh tersebut, SATU terpaksa berdepan dengan peningkatan kos operasi, pemprosesan dan perbekalan air terawat yang sentiasa naik setiap tahun," ujarnya.

Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)  mengumumkan pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan berkuat kuasa 1 Februari ini.

SPAN dalam kenyataan memaklumkan, pelarasan berkenaan dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun.

Setakat kini bilangan akaun pengguna air yang aktif di Negeri Terengganu sehingga November 2023 berjumlah sebanyak 341,546 akaun dimana 83 peratus adalah pengguna kategori domestik, selebihnya bukan domestik.