• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pelbagai Pihak Tampil Bantu Lancarkan Proses Pemberian Vaksin

Oleh :Nooreni Abu Bakar 

DUNGUN, 18 Ogos- Pelbagai pihak tampil memainkan peranan untuk membantu melancarkan proses pemberian vaksin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, sebelum ini prosesnya agak perlahan sehingga merisaukan orang ramai. 

"Alhamdulillah dengan usaha yang diambil oleh Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan Kelab Kebajikan dan Rekreasi Peminat Pacuan Empat Roda Dungun (PADAT) di Masjid Serdang ini memberi peluang masyarakat yang tinggal berdekatan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, ini sudah tentu memberi kemudahan kepada mereka. 

"Manakala di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Abang (SMKAKA) pula, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengadakan Program Jejak Vaksin UniSZA selama dua hari dan seramai 1,400 orang disuntik vaksin dos pertama dari seluruh DUN Rantau Abang," katanya ketika ditemui di SMKAKA di sini. 

Sementara itu, Penghulu Mukim Abang, Abdul Ghafar Abu Bakar memberitahu bertempat di SMKAKA juga akan diteruskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dibawah Program Mobilasi Vaksin Komuniti (MOVAK) bermula 17 sehingga 21 Ogos ini.

"Dimana selama lima hari sebanyak 700 dos pertama disediakan, menjadikan jumlah keseluruhan penerima seramai 3,500  orang,"jelasnya.

Setiausaha PAPISMA Cawangan Dungun, Dr Mardziah Mohamad, menjelaskan PAPISMA cuba membantu kerajaan untuk merancakkan pemberian vaksin setelah melihat prosesnya agak perlahan di Daerah Dungun. 

"Sehingga kini, Masjid Serdang adalah 'Outreach' ketiga, selepas dua di Paka dan tumpuan kita adalah di kawasannya jauh daripada PPV utama," ujarnya lagi. 

Manakala seorang warga emas, Tengah Abdul Rahman, 74 yang ditemui, bersyukur telah selesai dos pertama tanpa perlu ke bandar Dungun. 

"Alhamdulillah, buat program cucuk vaksin di Masjid Serdang ni, tidak perlu gi jauh-jauh, " katanya yang tinggal di Delong.