• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Pelbagai Pihak Tampil Bersih Sekolah Pasca Banjir

DUNGUN, 2 Januari- Lebih 120 individu termasuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, beberapa agensi kerajaan, syarikat swasta dan penduduk kampung hari ini tampil membantu membersihkan Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir Raja di sini yang terjejas banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, operasi pembersihan berkenaan dimulakan sejak awal pagi tadi hingga petang ini bagi memastikan murid dapat belajar dengan lebih selesa.

“Meskipun sekolah itu telah dibersihkan sebelum ini, namun masih ada kesan lumpur di sekitar bangunan sekolah terutamanya di kawasan asrama dan bilik darjah yang memerlukan kerja-kerja pembersihan secara maksima.

“Hari ini sepatutnya bermula sesi pembelajaran dan pengajaran tetapi terpaksa digantikan dengan aktiviti gotong-royong membersihkan bangunan sekolah yang terjejas banjir baru-baru ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di sekolah terbabit sempena Program Pasca Banjir Bersama Komuniti.

Katanya, para sukarelawan turut melakukan kerja-kerja pembersihan Masjid Kampung Pasir Raja yang turut ditenggelami air baru-baru ini.


Tag: