• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pelbagai Pihak Tampil Hulur Bantuan Pasca Banjir

DUNGUN, 12 Januari- Bencana banjir yang menjejaskan kehidupan ribuan penduduk daerah ini terutamanya di Hulu Dungun terus mendapat perhatian pelbagai pihak yang tampil menghulurkan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan untuk mereka.

Pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi Ghazali Sulaiman berkata, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi (PKMD) telah bertindak menjadi perantaraan dalam menyampaikan sumbangan daripada pihak yang berhasrat menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

"Sejak semalam, saya telah dihubungi pelbagai pihak yang ingin menghulurkan bantuan samada berupa sumbangan tenaga kerja untuk melakukan kerja-kerja pembersihan, menghulurkan kit bantuan banjir dan sebagainya kepada penduduk di sini.

"Kita sangat alu-alukan serta berterima kasih kepada pihak yang sudi membantu meringankan bebanan mangsa banjir," ujarnya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Katanya, misi bantuan pasca banjir DUN Bukit Besi telah dimulakan secara rasminya semalam dengan penglibatan anggota Jabatan Amal Malaysia Kawasan Dungun dan 'Alternative Riding Club' (ARC).

"Juga menerima penyertaan daripada Jabatan Amal Kawasan Marang yang turut singgah membantu ketika perjalanan mereka untuk menjalankan misi banjir di daerah Kemaman.

"Antara yang kita lakukan termasuk membersihkan rumah penduduk terkesan banjir, surau, masjid dan segala kerja yang berkaitan," ujarnya.

Selain itu Ghazali berkata, pihaknya juga telah menjadikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang tidak terlibat banjir sebagai 'bapa angkat' kepada kawasan yang terkesan banjir.

"Dimana kita telah selaraskan kaedah demikian bagi memastikan timbulnya sifat saling bertanggungjawab serta melancarkan lagi aktiviti pasca banjir secara menyeluruh tanpa ada komuniti yang tertinggal didalam memastikan segala gerak kerja pasca banjir dapat diselesaikan dengan baik.

"Juga bertujuan memastikan terjalinnya hubungan yang baik diantara kesemua 23 cawangan MPKK yang ada di sini, dimana akan mewujudkan permuafakatan yang baik, bak kata pepatah 'berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing', "ujarnya.


Tag: