• 15 Mei 2024 | 7 Zulkaedah 1445

Pelihara Hubungan Sesama Jiran



Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 20 September - Orang ramai diingatkan sentiasa memelihara hubungan sesama jiran dan elakkan bermasam muka terutama di dalam hal yang remeh temeh.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun berkata jiran merupakan tempat kita meminta pertolongan di saat ditimpa kesusahan.

"Jangan sampai anak bergaduh sesama anak, kita (ibubapa) masuk campur, sedangkan anak sudah berbaik, tapi kita masih tidak bertegur sapa," ujarnya.

Beliau yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah di Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin di Surau Rimbunan Kaseh, baru-baru ini.

Program anjuran Biro Wanita Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Rantau Abang itu turut dihadiri Ketua Muslimat PAS DUN tersebut, Rugayah Mahmood .

Dalam pada itu, Alias juga menyeru orang ramai agar menjaga hubungan dengan Allah S.W.T termasuk dengan tidak sekali-kali meninggalkan solat dan menghindari pergaulan bebas tanpa batasan yang akan mengundang kemurkaan Allah S.W.T.

"Jadi saya berharap makmurkanlah surau ini, jadikan tempat mencari ilmu agama kerana hidup kita akan berakhir dengan kematian dan jaga anak cucu kita agar tidak terpengaruh dengan gejala yang merosakkan masa depan mereka," katanya.


Tag: